SEGALANYA TENTANG PERODUA AXIA 2023, LEBIH BESAR DAN LEBIH JIMAT
Pada hari ini Perodua telah melancarkan Perodua Axia 2023 generasi kedua, iaitu model baru sepenuhnya dengan menggunakan platform baru Daihatsu New Global Architecture. Bagi membantu anda mengenali dengan lebih dekat berkenaan dengan model ini, berikut ialah fakta ringkas dan tepat berkenaan dengan Perodua Axia 2023 serba baru.
1. Saiz lebih besar – Axia 2023 datang dengan saiz dimensi yang lebih besar berbanding dengan Axia generasi pertama iaitu dengan panjang 3760mm (115mm lebih panjang), lebar 1665mm (45mm lebih lebar) dan jarak antara roda telah bertambah kepada 2525mm (60mm lebih panjang). Sebagai perbandingan jarak antara roda Myvi 2022 ialah 2500mm
2. Platform baru – Ya jarak antara roda Axia adalah sama panjang dengan Perodua Ativa membuktikan cesi Axia dan Ativa adalah sama iaitu Daihatsu New Global Architecture DNGA. Malah ketika pandu uji singkat baru-baru ini membuktikan bahawa tindak balas stering adalah lebih pantas berbanding model lama
3. Lebih jimat – biarpun menggunakan enjin lama 1KR-VE dengan pemasaan injap VVT-i yang menjana 67 kuasa kuda pada 6000 RPM dan 91Nm tork pada 4400 RPM, ia digandingkan dengan transmisi Dual Model CVT yang menggabungkan CVT dengan gear konvensional. Penggunaan DCVT memberikan 8% penjimatan bahan api kepada 23.3km/liter petrol.
4. Eco Idle -Anda boleh memandu dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dengan hanya menggunakan RM 28 petrol sahaja. Bagi model SE dan AV, penggunaan bahan api adalah sekitar 27.4km/liter dengan bantuan sistem Eco Idle Start Stop
5. Lebih Ergonomik – antara pembaharuan rekabentuk yang dibuat ialah dengan mengubah sudut pemasangan steering column supaya lebih dekat kepada pemandu dan diberikan ciri ketinggian yang boleh diubah.
Pedal minyak juga diposisikan pada lokasi yang lebih natural dengan kaki kanan untuk mengelakkan lenguh selepas memandu lama. Rekaan kusyen juga digantikan dengan rekaan semi bucket yang lebih menyokong badan penumpang untuk mengurangkan kelesuan
6. Ruang Dalam lebih luas – lebar ruang kabin telah ditambah sebanyak 40mm berbanding dengan model lama (menjadi 680mm) dan jarak antara penumpang depan dan penumpang belakang (tandem distance) ditambah menjadi 910mm. Ya Axia 2023 memiliki ruang dalam yang lebih lebar dan panjang berbanding model lama
7. Lebih Sporty – hasil kajian Perodua mendapati kebanyakan pembeli kali pertama dan pembeli yang mahkan kereta kedua lebih sukakan rekaan yang sporti. Malah kajian juga mendapati bakal pembeli sukakan rekaan yang agresif dan juga nampak berkuasa
Jadi berdasarkan dapatan kajian, rekaan Axia 2023 mengetengah rekaan sporti. Buktinya ialah jarak kelegaan bumi diturunkan menjadi 150mm berbanding dengan model lama 170mm. Rekaan bampar depan menampilkan rekaan X Face Design yang garang dilengkapkan dengan lampu LED utama dan DRL LED.
Bahagian sisi pula tampil agresif dengan perumah tayar depan dan belakang yang lebih kembang, short overhang di bahagian depan dan belakang dan shoulder line yang nampak lebih tajam serta agresif
8. Rekaan dalaman eksklusif – kajian yang dilakukan oleh Perodua juga mendapati pembeli juga mahukan ruang dalaman yang nampak mahal dan rasa mahal apabila disentuh. Jadi rekaan baru papan pemuka dihasilkan mengikut jejak langkah Alza dan juga Ativa.
Antara elemen yang diketengahkan ialah rekaan corak permukaan pada papan pemuka, rekaan papan pemuka yang lebih moden, tajam dan bersegi, penggunaan krom untuk menimbulkan rasa mahal dan ciri moden yang terkini seperti free standing screen untuk sistem multimedia
9. Varian Asas G puas hati – selain menerima platform dan transmisi D-CVT baru, varian G mengetengahkan beberapa ciri keselamatan terkini seperti Vehicle Stability Control, ABS, EBD, Hill Start Assist, 2 cagak Isofix, 2 beg udara, penderia undur, keyless entry, sambungan Bluetooth serta rim aloi 14 inci
10. Varian X – akan menerima lampu depan LED dengan sistem auto on, lampu depan boleh laras ketinggian, Follow Me Home, parkir sensor depan belakang, sistem push start button dan stering boleh laras ketinggian
11. Varian SE – varian ini boleh diberikan lampu LED DRL, butang power mode pada stering, meter depan dengan meter RPM, kusyen semi bucket, 4 beg udara dan suis penyaman udara digital. Ia akan disertakan dengan skirting depan, skirting sisi dan jeriji depan krom
12. Advance – didatangkan khas dengan Perodua Smart Drive Assist yang merangkumi amaran pra-perlanggaran, brek pra-perlanggaran, Lane Departure Warning & Prevention, Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert, Kamera undur, dan juga 6 beg udara
Untuk bahagian kosmetik, kusyen akan dibalut dengan fabrik separa kulit, skrin sesentuh 9 inci dengan sambungan HDMI, meter digital 7 inci dengan 4 rekaan, butang kawalan audio di stering selain butang Power Mode, dan juga balutan kulit penuh di roda stering