PERODUA AXIA 2023 RASMI DILANCARKAN. 1.0L NA, 4 VARIAN, BERMULA RM38,600 SAHAJA!
Perodua akhirnya secara rasmi melancarkan model kompak popular Axia ke pasaran tempatan pagi tadi. Model yang menjadi pengganti kepada model Kancil, Kelisa dan Viva itu sering menjadi pilihan kepada mereka yang membeli kereta buat pertama kali.
Axia 2023 yang menggunakan kod nama D74A ditawarkan dalam empat varian dengan harga seperti berikut:
- Varian G – RM38,600
- Varian X – RM40,000
- Varian SE – RM45,000
- Varian AV – RM49,500
Dengan tanda harga baharu itu, ramai yang mendakwa Axia bukan lagi ‘Axia’ kerana ia seolah-olah tidak lagi mampu milik seperti sebelum ini. Namun, sebelum anda mahu mula mengecam, harga itu sebenarnya setimpal dengan apa yang ditawarkannya.
Perkara pertama yang perlu anda tahu ialah Axia kini dibina di atas platform terbaharu Daihatsu New Global Architecture (DNGA). Ini menjadikannya model ketiga yang menggunakan platform berkenaan selepas Ativa dan Alza. Bukan sekadar menawarkan kualiti pengendalian lebih baik, malah saiz Axia sebenarnya lebih besar berbanding Myvi dan Ativa.
Lebih tepat lagi dari segi dimensi, Axia kini 3,760mm panjang, 1,665mm lebar, 1,495mm tinggi dengan jarak antara roda sepanjang 2,525mm. Biarpun begitu, model baharu ini sedikit rendah sebanyak 150mm berbanding Axia generasi sebelumnya.
Axia yang merupakan kembar kepada model Toyota Agya dan Daihatsu Ayla di pasaran Indonesia itu masih mengekalkan enjin aspirasi biasa tiga silinder VVT-i bersesaran 1.0 liter berkuasa 67hp dan tork 91Nm. Ya, Perodua tidak menawarkan pilihan enjin 1.0 turbo seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.
Cuma perbezaan paling ketara berbanding Axia lama ialah enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear Dual Mode CVT (D-CVT). Transmisi yang turut digunakan pada Ativa, Myvi facelift dan Alza itu menjanjikan tahap penjimatan bahan api, kesenyapan dan dan prestasi pecutan lebih baik.
Berdasarkan kepada ujian Kitaran Pemanduan Malaysia (MDC) yang dilakukan oleh Perodua, Axia mampu mencatat penggunaan bahan api sekitar 27.3km bagi setiap liter petrol dan 23.3 km/liter (NEDC) jika mengikut piawaian NEDC.
Penjimatan pasti lebih baik untuk varian SE dan AV kerana ia akan dilengkapi ciri Eco Idle. Pemandu juga boleh menggunakan butang Power jika mahukan lebih kuasa.
Dari segi penampilan, Axia serba baharu sememangnya jauh berbeza berbanding model terdahulu. Seperti yang boleh anda lihat, rekaan bampar hadapan mengetengahkan tema X Design yang kelihatan lebih garang.
Gayaan itu diserlahkan lagi dengan sepasang lampu LED dengan rekflektor yang nipis, lampu nyalaan siang (DRL) LED, jeriji terpisah berwarna hitam dan lampu isyarat membelok pada perumah cermin sisi yang boleh dilipat secara automatik.
Masuk ke dalam kabin Axia, anda akan menemui banyak komponen Ativa. Paling ketara ialah skrin TFT paparan instrumen digital bersaiz 7 inci untuk pemandu yang diambil terus daripada SUV tersebut.
Papan pemuka (varian AV) dihuni oleh skrin infohibur bersaiz 9.0 inci dengan paparan grafik yang tidak asing lagi. Kalau anda memilih varian G, X dan SE, skrin itu akan diganti dengan sistem audio biasa bersama ciri Bluetooth.
Axia G dan X dipasang dengan tempat duduk fabrik. Manakala varian SE menerima tempat duduk jenis semi-bucket dengan balutan separa kulit untuk AV.
Dari segi keselamatan, model AV dilengkapi sistem Advanced Safety Assist (ASA 3.0). Ia terdiri daripada ciri Amaran Pra-Pelanggaran, Brek Kecemasan Automatik (AEB), Kawalan Salah Operasi Pedal, Amaran Pergerakan Kenderaan Hadapan,
Bantuan Suluhan Tinggi (AHB), Amaran dan Pengelakan Keluar Lorong (LDW), Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM) serta kamera undur. Seperti biasa, setiap varian akan dibezakan menerusi ciri-ciri mereka yang tersendiri.
Jika berminat Axia 2023 didatangkan dalam lima warna menarik iaitu biru (Coral Blue), merah (Lava Red), kelabu (Granite Grey), perak (Glittering Silver) dan putih (Ivory White).
Seperti yang dijangka, Axia mendapat sambutan sangat menggalakkan sejak tempahannya dibuka pada 31 Januari lalu. Perodua memberitahu, pihaknya sudah menerima lebih 3,600 tempahan dalam masa hanya seminggu. Antara varian yang paling banyak ditempah ialah SE dan AV.
Jadi, anda nak beli varian Axia yang mana satu?
- BACA: PERODUA TAYANG 2 LAGI GAMBAR ACAH MODEL AXIA TERBARU, BAKAL DILANCAR PADA 14 FEBRUARI
- BACA: PERODUA AXIA 2023 D74A, HARGA BERMULA RM 38,600. LAMPU DEPAN LED & WARNA BARU
- BACA: NAK BELI PERODUA AXIA MANUAL? SABAR SIKIT, LEPAS HARI RAYA AIDILFITRI BARU LANCAR
- BACA: INI KOS SERVIS GR YARIS, MEMANG MURAH BETUL. MACAM SERVIS AXIA JERRR
GALERI