Artikel Pilihan

SEJARAH: 7 ENJIN YANG PERNAH DIGUNAKAN OLEH PROTON WIRA

Proton Wira merupakan salah satu model popular, sangat popular pada satu ketika dulu dan menjadi lambang kemegahan rakyat jikalau boleh memandu dan memilikinya. Berbeza dengan Proton Saga dan Iswara, Proton Wira adalah lebih moden dengan rekaan yang lebih bagus serta penawaran enjin yang lebih banyak

Abam Jaapar pernah menulis dengan panjang lebar berkenaan dengan Proton Wira di SINI. Bercakap berkenaan dengan enjin, Proton Wira ditawarkan dalam beberapa pilihan enjin sepanjang tempoh pengeluarannya daripada tahun 1993 sehinggalah pada tahun 2009. Berikut ialah senarai enjin yang pernah digunakan oleh Proton Wira:

1. 1.6XLi – antara varian awal enjin Proton Wira yang ditawarkan ketika pelacarannya pada tahun 1996. Enjin 4G92P 1600cc 4 silinder SOHC merupakan enjin yang berasal daripada 4G91 tapi sesarannya dinaikkan 100cc daripada 1500cc.

Walaupun Mitsubishi ada varian DOHC, tetapi untuk penjimatan bahan api Wira menggunakan varian SOHC yang menjana 111 kuasa kuda dan 137Nm tork pada 6000 RPM. Ia juga ditawarkan dengan sistem suntkan bahan api EFi ECi Multi dan lebih canggih berbanding dengan varian 1500cc.

Pada awalnya hanya transmisi automatik 4 kelajuan sahaja yang ditawarkan pada tahun 1993, tetapi pada tahun 1994 varian transmisi manual turut diperkenalkan pada enjin ini bersama sama dengan Proton Wira 1.6 Aeroback.

2. 1.5GL – merupakan enjin paling banyak yang digunakan oleh Proton Wira. Enjin ini datang dengan sesaran 1500cc, 4 silinder SOHC , 12 injap (2 injap kemasukan dan 1 injap ekzos) dan pada awalnya diperkenalkan dengan suapan karburetor. Ia merupakan enjin 4G15 yang sama digunakan oleh Proton Iswara pada ketika itu dengan kuasanya hanyalah 88hp dan 126Nm tork

Sebagai perbandingan Perodua MyVi 1.3 DOHC dual VVT-i pada hari ini berupaya menjana sehingga 94hp dan 121Nm tork. Enjin ini dipadankan dengan transmisi 5 kelajuan manual atau 3 kelajuan automatik, dengan pilihan automatik memberikan bacaan bahan api yang tinggi.

3. 1.5GLi – Versi enjin 1500cc ini kemudian dipertingkatkan dengan sistem suntikan bahan api dengan ECU dibekalkan daripada Siemens VDO tetapi masih mengekalkan rekaan enjin yang lain seperti sistem SOHC dan juga 12 injap. Dengan sistem suntikan bahan api, kuasa enjin telah naik kepada 92 kuasa kuda dan 122Nm tork

4. 1.3GL – sama seperti enjin 1500cc, cuma sesarannya diturunkan kepada 1300cc sahaja dan menjana 73 kuasa kuda dan 108Nm tork. Enjin 4G13 ini masih menggunakan 4 silinder, SOHC, karburetor dan paling menyakitkan mata ialah ia tidak ditawarkan dengan meter RPM dan transmisi manual sahaja.

5. 1.3 GLi – sama seperti enjin 1300cc atau 1.3GL, enjin ini diberikan sistem suntikan bahan api dengan varian 1.3 GLi. Ini membantu enjin ini menjana sehingga 73 kuasa kuda dan 106Nm tork. Sesetengah pengguna memberikan input bahawa varian ini kurang “pick-up” berbanding dengan 1.3 karburetor

6. 1.8EXi – merupakan varian yang paling berkuasa pernah dihasilkan oleh Proton bagi model Wira dengan enjin asal ialah enjin 4G93. Enjin ini datang dengan sesaran 1800cc, 4 silinder DOHC yang menjana sehingga 138 kuasa kuda dan 167Nm tork dari 5500 RPM.

Enjin ini juga menggunakan sistem EFi ECi Multi menjadikannya antara enjin paling canggih, paling berkuasa dan dijadikan enjin pilihan untuk Wira Tiang Gol, Satria GTi dan Putra. Enjin ini dipadankan dengan pilihan transmisi manual 5 kelajuan atau transmisi auto 4 kelajuan.

7. 2.0D diesel – merupakan enjin paling jarang sekali dijumpai disebabkan ketika dilancarkan, sambutan pengguna adalah sangat dingin. Ia merupakan enjin 4D68, 4 silinder 2000cc dengan nisbah mampatan mencapai 22.4:1, suntikan bahan api.

Walaupun sesaran enjin adalah 2000cc, tetapi enjin ini adalah enjin SOHC dan menggunakan 8 injap sahaja, tanpa turbo dan juga tanpa sistem suntikan bahan api tekanan tinggi COMMON Rail. Jadi ia hanya menghasilkan sekitar 68 kuasa kuda dan 123Nm tork, lebih kurang sama dengan enjin 1.3 GLi/1.3GL

Keadaan ini menyebabkan pick up kereta ini adalah kurang memuaskan, kelajuan tertinggi sekitar 120-130km/jam sahaja selain pada waktu itu struktur cukai bagi enjin diesel adalah tidak mesra pengguna menjadikannya kurang popular.

Google ads
Back to top button