Buletin

SELAMAT TINGGAL PATROL V8! NISSAN BUKA PELUANG AKHIR SEBELUM V6 MASUK AUSTRALIA

Selepas lebih sedekad menjadi pilihan peminat SUV lasak bersaiz penuh, Nissan mengumumkan pengeluaran Patrol Y62 untuk pasaran Australia akan ditamatkan pada Ogos 2026.

Ia sekali gus menandakan berakhirnya era enjin V8 bagi model Patrol sebelum ketibaan generasi baharu Y63 yang bakal menggunakan enjin V6 Turbo Berkembar.

Patrol Y62 merupakan generasi terakhir yang menggunakan enjin petrol V8 5.6 liter aspirasi semula jadi (N/A).

Dengan ketibaan Y63 ke Australia pada penghujung tahun 2026, Nissan mengesahkan model baharu itu bakal dijana enjin 3.5 liter V6 Twin Turbo.

Menurut Pengarah Urusan Nissan Oceania, Steve Milette, penamatan Y62 merupakan peluang terakhir bagi pelanggan Australia yang masih mahukan sebuah Patrol V8 baharu.

Enjin V8 5.6 liter pada Patrol Y62 menghasilkan kuasa 405 PS dan tork 560Nm.

Angka tersebut menjadi antara faktor utama yang menjadikan Patrol Y62 popular dalam kalangan peminat aktiviti rekreasi, penunda treler dan pengembaraan off-road.

Dengan pengeluaran bakal ditamatkan, Patrol Y62 V8 berpotensi menjadi model buruan pengumpul pada masa hadapan.

Lebih 60 Tahun Sejarah Di Australia

Patrol mempunyai sejarah yang cukup panjang di Australia sejak kemunculan G60 Datsun Patrol pada tahun 1961.

Dalam tempoh lebih enam dekad, Nissan telah menyerahkan lebih 258,000 unit Patrol kepada pelanggan Australia merentasi lima generasi.

Antara detik paling penting dalam sejarah model itu adalah pada September 1962.

Ahli geologi Reg Sprigg bersama keluarganya menjadi individu pertama merentasi Gurun Simpson menggunakan kenderaan bermotor.

Mereka melakukannya dengan sebuah G60 Patrol dan membuka laluan yang kini dikenali sebagai French Line.

Reputasi Patrol turut diperkukuhkan menerusi kejayaan dalam sukan permotoran apabila model itu memenangi 15 kejuaraan berturut-turut Australian Off-Road Championship antara tahun 1983 hingga 1998.

Patrol juga mencatat empat kemenangan keseluruhan dalam perlumbaan Australasian Safari pada tahun 1992, 1993, 1995 dan 2003.

Patrol Y62 Bawa Patrol Ke Era Lebih Mewah

Diperkenalkan di Australia pada tahun 2013, Patrol Y62 membawa pendekatan yang lebih moden dan premium berbanding generasi terdahulu.

Selain enjin V8 berkapasiti besar, Y62 turut dilengkapi sistem suspensi bebas dengan teknologi Hydraulic Body Motion Control (HBMC) serta ciri Intelligent Rear View Mirror.

Walaupun lebih mewah dan selesa di atas jalan raya, Patrol masih mengekalkan keupayaan off-road yang menjadi identitinya sejak tahun 1951.

Patrol Warrior: V8 Australia Yang Terakhir

Penamatan Y62 turut menandakan episod penghujung bagi Patrol Warrior by Premcar, iaitu versi khas yang dibangunkan bersama syarikat kejuruteraan Australia, Premcar.

Model itu menerima pelbagai naik taraf khusus untuk keadaan pemanduan Australia.

Di antarannya talaan suspensi tempatan, peningkatan kelegaan tanah, tayar all-terrain pada rim khas serta beberapa penambahbaikan kosmetik.

Lagi ciri menarik ialah sistem ekzos sisi dengan dua tetapan bunyi.

Ekzos itu menghasilkan bunyi V8 lebih garang ketika pecutan kuat, namun kekal senyap ketika pemanduan biasa.

Setiap unit Patrol Warrior disiapkan secara manual melalui proses pengeluaran peringkat kedua di Australia dan dilindungi waranti penuh Nissan.

Nissan Patrol Y63 Menanti

Walaupun era V8 bakal berakhir, nama Patrol akan terus hidup menerusi generasi baharu Y63.

Model itu sudah pun diperkenalkan di beberapa pasaran pemanduan kiri dan dijangka dibuka untuk tempahan di Australia sebelum penghujung tahun ini.

Namun bagi peminat tegar enjin aspirasi semula jadi berkapasiti besar, penamatan Y62 menandakan tamatnya satu era penting dalam sejarah Nissan Patrol.

Google ads
Back to top button