Buletin

SELEPAS 21 TAHUN, TOYOTA AKHIRNYA PERKENALKAN MODEL GANTIAN CENTURY

“Roll Rocye of Asia” – Bagi orang luar Jepun, mungkin tak pernah dengar pun nama model ni, Toyota Century. Biasanya, model-model khusus JDM ni adalah model sports-prestasi atau pun model regulasi khas Kei-Car.

Tapi ini model flagship Toyota yang paling agung. Ia lebih mewah daripada Lexus yang paling mewah tetapi masih bangga memakai lencana Toyota.

BACA: HONGLI L5. CHINA JUGA MAMPU MEMBINA ROLLS ROYCE

Century juga menggunakan enjin paling besar yang pernah dicipta Toyota. Ia dipadankan dengan nadi penggerak 5.0-liter V8 hybrid yang berkuasa 381PS (376hp / 280kW) dan 510Nm (376lb-ft) tork. Kemudian ditambah dengan 224PS (221hp / 165kW) dan 300Nm (221lb-ft) tork oleh sebuah motor elektrik.

Bukan itu sahaja, saiz kereta itu sendiri adalah yang paling besar malah lebih panjang dari sebuah MPV Toyota paling besar – Alphard / Vellfire. Model baru ini berukuran 5,335mm panjang, 1,930mm lebar dan 1,505mm tinggi. Jarak rodanya (wheelbase) pula sepanjang 3,090mm.

Di Jepun, ia diiktiraf sebagai kereta ultra mewah, digunakan oleh keluarga maharaja, pegawai peringkat tertinggi kerajaan dan juga ketua-ketua Yakuza. Ia adalah sisi mewah sebuah Toyota yang melambangkan keunggulan teknologi dan kraftangan teknologi automotif Jepun.

Century ialah sebuah kereta yang telah diperkenalkan lebih 50 tahun dulu. Dan dalam tempoh tersebut, hanya ada tiga generasi yang benar-benar diperbaharui. 

Ini adalah generasi ketiga, terbaru yang menggantikan model generasi kedua yang telah dikeluarkan lebih 21 tahun lamanya. Sangat lama untuk piawaian sebuah kereta jenama Toyota.

Seperti yang anda jangka, sebaik membuka pintu, ia adalah susunan sebuah super sedan mewah dengan pelbagai opsyen. Dari kerusi fabrik berbulu, hingga ke kulit anak lembu putih dibalut kemas yang boleh jadi pilihan pembeli

Senarai peralatan lain termasuk sistem hiburan untuk penumpang belakang dengan skrin 16-inci, sistem audio canggih dengan panel sesentuh 7-inci di pusat sokongan belakang yang membolehkan penumpang mengawal fungsi urut tempat duduk, langsir, penghawa dingin dan sistem bunyi.

BACA: ENJIN CENTURY V12 – 1000HP SUPRA

Toyota juga telah memasang kereta ini dengan sistem supensi udara yang dikawal secara elektronik dan mendakwa bahawa ketegaran kerangka kereta disesuaikan menerusi penggunaan struktur pengesan khas.

Kesemua bahagian suspensi, lengan aluminium, bushing getah rekaan khas diintegrasikan dengan sistem kawalan bunyi hanya untuk satu tujuan – menjadikan kabin kereta ini sesenyap mungkin.

Tidak dilupakan sistem keselamatan terbaru Toyota Safety Sense yang menampilkan Blind Spot Monitor, Parking Support Alert, Pre-Collision System, Lane Departure Alert, Radar Cruise Control, Adaptive High Beam dan HelpNet. Helpnet adalah sistem komunikasi automatik di mana jika beg udara kereta meletup, operator Toyota akan menghubungi pihak berkuasa tempatan terdekat untuk menghantar bantuan.

Canggih kan?

Tapi…berapa pula harganya?

Ia bermula dari 19,600,000 yen atau RM718,207 pada nilai tukaran wang hari ini. Itu baru harga asas belum termasuk opsyen, cukai dan kos atas jalan. Di Jepun, pada harga ini sudah boleh beli dua buah Nissan GT-R dengan duit baki boleh buat Kanjo di Osaka.

Dan kalau anda rasa itu sudah mahal, nanti dulu. Kalau ada duit pun kena tunggu giliran untuk membelinya kerana Toyota hanya membuat secara eksklusif di kilang Higashi-Fuji dan hanya diproduksi sebanyak 50 unit sebulan.

VIDEO

GALERI

                    

Google ads
Back to top button