Artikel Pilihan

ROEWE Ei5 EV 400 – WAGON ELEKTRIK DENGAN GAYA PREMIUM

Apabila bersembang bab kereta elektrik dari China, tidak dapat tidak kita akan berasa sangat skeptikal. Yang mengeji pun entah berapa banyak. Yang pasti, teknologi EV di sana terlalu pantas berkembang. Tapi, masih wujud juga sebenarnya sebuah EV yang benar-benar senonoh dan mampu berfungsi dengan baik untuk membawa penumpang dan barangan kargo. Inilah dia, model Roewe Ei5 EV 400. Dan iyanya adalah sebuah Wagon.

BACA : HONDA PERKENAL KONSEP HR-V VERSI ELEKTRIK UNTUK PASARAN CHINA

BACA : DAIMLER PERKENAL DENZA 500, KERETA ELEKTRIK YANG MAMPU BERGERAK SEHINGGA 500KM

Sedikit sejarah tentang Roewe, jenama ini adalah milik SAIC Motor yang telah membeli hak dan teknologi daripada MG Rover. Cuma sedikit canggung apabila mereka tidak dapat memiliki nama Rover sendiri. Jadinya, mereka pun menamakanlah sebagai Roewe. Sebuah jenama yang boleh dianggap sebagai premium di sana.

Model Wagon ini sebetulnya dikeluarkan dalam varian Wagon yang menggunakan enjin petrol. Akan tetapi, menyedari kepentingan menjaga alam sekitar, maka diperkenalkan pula Ei5 untuk versi EV sewaktu Guangzhou Auto Show 2017.

Dari segi luaran, jelas rekaannya berpaksikan sebuah Wagon keluaran Eropah. Walaupun ianya berkongsi platform yang sama dengan Buick Excelle GX, namun jelas Ei5 ini jauh lebih menyerlah sifat premiumnya dari segala aspek. Apatah lagi melihatkan gril krom yang melintang disamping warna hitam melatari latar belakang.

Ruangan kabinnya juga tidak kalah dengan ciri-ciri premium. Balutan kulit tempat duduk pasti memberikan keselesaan serta menambahkan lagi kesan mewah. Kalau nak sebut bab konsol tengah, barangkali ianya masih kelihatan tipikal dengan penggunaan skrin sesentuh bersaiz 8 inci. Tetapi yang nyata adalah penggunaan butang kawalan bagi menggantikan tombol gear. Baru betul ada gaya, iya tak?

Manakala penggunaan motor elektrik dengan kuasa 116hp, kelajuan maksimum yang mampu dicapai oleh Wagon bersaiz boleh tahan besar juga ini adalah sekitar 145km/j. Kalau pandu serupa pelesit gaya itu, bolehlah dapat jarak perjalanan sehingga 300km sahaja. Tapi kalau pandu dengan berhemah dan santai, Ei5 ini berupaya berjalan sejauh 400km. Kira cukup jauh. Nak jalan waktu raya pun sedap juga.

Aras harganya pula bermula pada 119,900 Yuan (RM73,768). Barangkali sedikit mahal. Tapi apabila ianya digabungkan dengan teknologi dan kemewahan yang ada pada Wagon ini, rakyat China pasti berpuas hati memilikinya.

 

Google ads
Back to top button