Modifikasi

SI PELURU KELABU – HONDA CIVIC EG B16 TURBO

Honda bukanlah pengeluar yang terkenal dengan binaan enjin berkuasa turbo. Nak kata tiada langsung pun tidak juga. Mungkin kerana jumlahnya yang terlalu kecil, menyebabkan mereka kurang terkenal berbanding gergasi pengeluar Jepun yang lain. Sehinggalah model Civic FC dengan enjin turbo L15B diperkenalkan kepada umum baru-baru ini.

Selain L15B, sebenarnya terdapat empat lagi enjin berkuasa turbo yang pernah dihasilkan Honda untuk model pengeluaran mereka sebelum ini.

BACA: CIVIC TYPE R TERPANTAS DI NURBURGRING

Bermula dengan enjin ER 1.2L untuk model kompak Honda City Turbo pada tahun 1982, diikuti enjin C20AT 2.0L untuk model Honda Legend Wing Turbo pada tahun 1989. Mereka juga ada mengeluarkan enjin K23A 2.3L untuk model SUV Acura RDX pada tahun 2007, serta enjin K20C 2.0L untuk model Honda Civic FK2 Type R pada tahun 2014.

Walaupun kesemuanya dikeluarkan dalam jumlah yang kecil, sebahagian daripada enjin ini pernah mengejutkan dunia dengan rekod pencapaian yang mengagumkan.

Bagi masyarakat modifikasi, pilihan paling popular tentulah enjin VTEC Siri B yang boleh dikahwin-kacuk mengikut resepi tersendiri. Macam-macam cara pernah dihasilkan dan kaedah turbo gantung bukan lagi sesuatu yang asing. Banyak contoh yang sudah terbukti, lebih-lebih lagi selepas keupayaannya mengejutkan jentera turbo sebenar.

Hairi antara yang memilih kaedah turbo gantung untuk capaian kuasa yang lebih lazat. Dah salin B16B Type R pun tak cukup lagi. Malas tukar gear la tu. Sebagai penyelesaian, ia dihantar bertapa di MyGarage, sebuah bengkel penggiat VTEC turbo yang popular di Pantai Timur.

Buat permulaan, enjin ini dikukuhkan semula dengan set piston forged Wiseco, termasuk penggunaan kepala silinder B18C GSR dan stud silinder dari ARP. Untuk sistem pendesak, kemasukan udara kini dibuat secara terus ke mulut turbo hybrid GT35 AR.70, yang mendongak di atas manifold turbo Tonnka.

Disertakan juga sebuah wastegate Tial 44mm, intercooler AVS, lingkaran paip kustom, injap pelepas Tial dan unit kawalan boost Turbosmart Dual Stage. Janaan boost ini seterusnya disuap masuk melalui throttle body Super90, sebelum ke manifold kemasukan Blox.

Bekalan bahan api datang dari pam petrol Walbro 255. Ia ditembak ke kebuk pembakaran oleh set injektor FIC, yang melekat kemas pada rel bahan api Works Engineering. Kadar tekanan dan balikan, kemudiannya dikawal unit regulator Sard. Sementara unit pengurusan Hondata S300, memastikan perjalanan enjin selari dengan jumlah kuasa yang diinginkan.

BACA: SEMANGAT PERLUMBAAN FD2 TYPE R

Civic ini merupakan model asas yang datang dengan kod EG3. Sebagai Kaki Kereta tegar, rasanya bukan masalah memandangkan komponen gantiannya masih boleh diperolehi dengan mudah. Nak beli baru ada, nak cari terpakai pun ada. Tinggal berani dfengan tidak je lah bila dengar harganya.

Untuk sektor luaran, keseluruhan kit badan asal masih lagi dikekalkan. Ia hanya diiringi beberapa komponen kosmetik seperti hood CF Spoon, cermin sisi CF Spoon, lip depan Mugen, serta diffuser bumper belakang Velocity.

Bagi hiasan rodanya pulak, tersemat rim 16-inci Mugen MF8 bersama tayar Yokohama S Drive berukuran 205/45R-16 setiap satu.

Ruang dalaman kelihatan cukup kemas dan terjaga, hasil penggunaan panel dan komponen lebih gelap dari model Civic EG6. Tahap perlumbaan kemudian dibantu beberapa komponen tambahan yang lain seperti stereng 2-spoke Sparco, tempat duduk bucket Bride, tombol gear Type R serta meter utama Integra DC2. Kehadiran meter boost Apexi mengesahkan statusnya sebagai sebuah mesin perang dengan induksi paksa (force induction lah)

GALERI

Google ads
Back to top button