Buletin

SIME DARBY MOTORS, UMW KINI DIKENALI SEBAGAI SIME MOTORS, SIME UMW

Sime Darby Berhad telah melakar sejarah baharu dengan memperkenalkan jenama yang diperbaharui, kini dikenali sebagai “Sime”.

Dalam pada itu, Sime Darby Motors kini dikenali sebagai Sime Motors manakala subsidiari UMW Holdings dijenamakan menjadi Sime UMW.

Langkah ini menandakan tumpuan strategik Sime sebagai peneraju dalam segmen automotif dan peralatan industri di Asia Pasifik. 

Seiring dengan penjenamaan baharu ini, Sime memperkenalkan tagline “Bridging Opportunities”, mencerminkan peranan kumpulan ini dalam mencipta peluang pertumbuhan dan nilai mampan di pasaran yang dinamik.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime, Dato’ Jeffri Salim Davidson, transformasi ini adalah manifestasi kecekapan kumpulan untuk terus relevan dalam landskap perniagaan yang sentiasa berubah. 

Sejak penubuhannya pada 1910, Sime telah melalui pelbagai fasa transformasi, termasuk penyusunan semula portfolio melalui pelupusan strategik dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Dengan lebih 30,000 kakitangan di 18 negara, Sime kini berada di barisan hadapan industri automotif dan peralatan industri, bersedia untuk merebut peluang baharu. 

Penjenamaan baharu ini menampilkan reka bentuk moden yang menghormati warisan Sime sambil menonjolkan estetika masa depan.

Menurutnya, logo baharu Sime melambangkan mobiliti dan inovasi, menyerlahkan peranan Sime sebagai pemacu kemajuan di Asia Pasifik. 

“Identiti baharu ini mencerminkan siapa kami hari ini dan aspirasi kami untuk masa depan. Berbekalkan legasi selama lebih 100 tahun, kami akan terus menjembatani peluang untuk memacu inovasi,” tambah Dato’ Jeffri.

Google ads
"
"
Back to top button