Buletin

SIME MOTORS SAMBUT 45 TAHUN DENGAN GEMA ORKESTRA FILHARMONIK MALAYSIA

Dalam suasana penuh elegan dan berprestij, Sime Motors meraikan ulang tahun ke-45 penubuhannya menerusi sebuah majlis gala bertemakan “Orchestrating Excellence: Celebrating 45 Years of Sime Motors in Malaysia”, menandakan lebih empat dekad sumbangan syarikat itu terhadap industri automotif negara.

Malam istimewa yang diadakan baru-baru ini menyaksikan gabungan keindahan muzik dan sejarah kecemerlangan korporat apabila Orkestra Filharmonik Malaysia mempersembahkan konsert eksklusif di bawah pimpinan konduktor tersohor, Gerald Salonga.

Keindahan malam tersebut diserikan lagi dengan persembahan memukau daripada pemain piano berbakat Liu Muyu serta penyanyi popular tanah air, Aina Abdul.

Selain persembahan berkelas dunia, majlis tersebut turut menjadi medan penghargaan kepada rakan kongsi jenama yang telah bersama Sime Motors membina kejayaan selama ini.

Antara penerima penghormatan ialah wakil daripada BMW Group Malaysia, BYD, DENZA, Ford Malaysia, Hyundai Malaysia, Jaguar Land Rover, Porsche Malaysia dan Volvo Cars Malaysia, kesemuanya diiktiraf atas kerjasama erat dan kepercayaan yang telah memacu pertumbuhan Sime Motors sejak awal penubuhannya.

Penyampaian tanda penghargaan dilakukan oleh Pengarah Urusan Sime Motors, Andrew Basham bersama Pengarah Urusan Asia Tenggara Sime Motors, Jeffrey Gan.

Menurut Andrew Basham, sambutan kali ini bukan sekadar menandakan ulang tahun syarikat, tetapi juga meraikan semua pihak yang menjadi nadi kejayaan Sime Motors selama ini.

“Selama 45 tahun, kami telah menempuh perjalanan penuh cabaran dan pencapaian bersama pelanggan, rakan kongsi serta tenaga kerja kami.

“Ulang tahun ini adalah simbol kekuatan hubungan itu. Kami akan terus memacu inovasi dan membentuk pengalaman pelanggan yang luar biasa di Malaysia,” katanya.

Majlis berprestij tersebut dihadiri oleh tetamu jemputan khas termasuk pelanggan setia, rakan niaga, wakil prinsipal jenama, media serta warga Sime Motors sendiri.

Sambil mengenang perjalanan panjang syarikat yang penuh kejayaan, malam tersebut turut mencerminkan aspirasi Sime Motors untuk terus menjadi peneraju dalam dunia automotif, berpaksikan inovasi, kerjasama strategik dan kecemerlangan perkhidmatan pelanggan.

Google ads
Back to top button