Buletin

SINGAPORE MOTORSHOW 2019: TOYOTA RAV4 2019, BILA AKAN MASUK MALAYSIA HAH?

Toyota baru sahaja melancarkan SUV Toyota RAV4 pada acara Singapore Motorshow 2019. Model generasi kelima itu dilihat tampil dengan reka bentuk lebih ranggi dan sesuai untuk apa jua gaya hidup aktif anda.

Sebagaimana yang anda tahu, model yang menjadi pesaing utama kepada Honda CR-V, Nissan X-Trail dan Mazda CX-5 itu memang pernah dilancarkan secara rasmi oleh pihak UMW Toyota Motors untuk pasaran Malaysia. Itu pun untuk RAV4 generasi kedua. Tetapi ia terhenti setajat itu sahaja.

Sekali fikir, memang pelik juga kerana model-model yang saya nyatakan di atas itu sememangnya mendapat sambutan hangat daripada pengguna tempatan. Mungkin UMW Toyota ada sebab mereka tersendiri. Tetapi dengar cerita, ada kemungkinan besar UMW Toyota akan membawa semula RAV4 ke Malaysia.

Berbalik kepada RAV4 baharu ini, rekaan luarannya diinspirasikan daripada bentuk geometri. Ia dapat dilihat dengan jelas menerusi dua lapis gril trapezoidal yang diapit oleh sepasang lampu utama jenis projektor LED.

Bahagian belakang pula diserlahkan dengan gugusan lampu LED dan pintu kuasa. Penampilan itu kemudian disempurnakan dengan rim bersaiz 18 inci.

Menjadi model terkini dibangunkan di atas platform Toyota New Global Architecture (TNGA), RAV4 dilengkapi sistem keselamatan Toyota Active Sense demi pemanduan yang lebih selamat.

Toyota Active Sense terdiri daripada beberapa sistem keselamatan termasuklah Pre-Collision System dengan Pengesan Pejalan Kaki & Penunggang Basikal (PCS w/PCD), Lane Departure Alert dengan Steering Assist (LDA w/SA), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) dan Automatic High Beam (AHB).

Menurut Toyota, RAV4 menawakan ruang kabin yang luas dan fleksibel. Demi kemudahan pengguna, ia didatangkan dengan pelbagai ciri seperti lampu iluminasi LED, butang penghidup enjin dan tiga port USB.

Kemewahan SUV itu dapat diserlahkan lagi melalui paparan multi maklumat dan speedometer bersaiz tujuh inci.

RAV4 digerakkan oleh enjin empat selinder bersesaran 2.0 liter berkuasa 170bhp dan tork 203Nm. Ia dipadankan dengan kotak gear Direct Shift CVT.

Diedar oleh pihak Borneo Motors (Singapore), RAV4 hanya hadir dalam satu varian. Harganya? $119,988 (RM363,606) seunit bersama sembilan pilihan warna.

Google ads
Back to top button