Motosikal

SINGAPORE MOTORSHOW 2019: DUCATI HYPERMOTARD 950, PENGGANTI MODEL 939

Ducati Singapore mengambil kesempatan untuk memperkenalkan dua model baharu iaitu Hypermotard 950 dan Multistrada 1260 Enduro pada acara Singapore Motorshow 2019 yang sedang berlangsung sekarang.

Jentera itu bagaimanapun belum dijual secara rasmi di sana, namun ia dijangka ditawarkan pada harga S$39,800 (RM119,400) seunit.

Berbeza dengan Ducati Malaysia yang mengimport model baharu dari Thailand, pengedar di Singapura dilapor membawa masuk kebanyakan model baharu terus dari Itali.

Harus tahu, Hypermotard 950 ialah pengganti Hypermotard 939. Masih lagi mengekalkan karakter sebelum ini, ia hadir dengan gayaan Hypermotard 1100 yang agresif. Jentera itu dikatakan lebih ringan dan dilengkapi pelbagai teknologi termaju.

Hypermotard 950 dikuasakan oleh enjin 937cc Testastretta 11° berkuasa 114hp @ 9,000rpm dan tork 96Nm. Naik 4hp, manakala kuasa tork dapat dicapai seawal 3,000rpm. Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda belakang melalui transmisi enam kelajuan.

Apa yang menarik, Ducati menyatakan enjin itu memerlukan tahap penyelenggaraan lebih minimum kerana pelarasan injap hanya perlu dibuat pada setiap 30,000km. Sementara selang servis pula adalah setiap 15,000km atau 12 bulan.

Penggunaan kerangka tubular trellis membolehkan motosikal ini 4kg lebih ringan berbanding model sebelumnya. Selain bahagian enjin yang beratnya dikurangkan sebanyak 1.5kg, Ducati turut menggunakan beberapa komponen baharu yang lebih ringan seperti rim, brek cakera dan fork Marzocchi bersama tiub aluminium.

Penunggang dapat mengawal motosikal ini dengan lebih baik kerana ia mempunyai bentangan hendal lebih terbuka. Di samping sisi profil lebih tajam dan tempat duduk penumpang yang rata agar lebih selesa.

Berbanding model sebelumnya, Hypermotard 950 mempunyai profil badan lebih tinggi, iaitu 870mm dengan berat 200kg. Tunggangan dimantapkan lagi dengan tayar Pirelli Diablo Rosso 111 bersaiz 120/70 ZR17 (depan) dan 180/55 ZR17 (belakang).

Tugas menghentikan jentera itu diserahkan kepada brek cakera aluminium monoblok Brembo 320mm dengan kaliper 4-piston (depan) dan brek cakera 245mm dengan kaliper 2-piston di belakang.

Sehingga kini, tiada maklumat lanjut bila jentera ini akan dilancarkan di Malaysia.

Spesifikasi Hypermotard 950

  • Mode Tunggangan, Mode Power
  • Bosch Cornering ABS
  • Ducati Slide by Brake
  • Kawalan Cengkaman Ducati EVO (DTC EVO)
  • Kawalan Ducati Wheelie EVO (DWC EVO)
  • Ride by wire
  • Ciri LED untuk lampu nyalaan siang (DRL), lampu belakang dan lampu selekoh
  • Bar hendal aluminium
  • Perehat kaki penumpang boleh tanggal
  • Port USB
  • Sistem Anti-Kecurian
  • Ducati Quick Shift (DQS) atas/bawah
  • Pemanas bar hendal
  • Sistem Ducati Multimedia (DMS)
Google ads
Back to top button