
SISMA AUTO BUKA PUSAT 3S VOLVO DI SUNGAI BESI. PELABURAN CECAH RM30 JUTA
Kumpulan automotif premium pelbagai jenama, SISMA Auto hari ini mengumumkan pembukaan pusat 3S Volvo utama baharu di Sungai Besi.
Pusat itu terletak di Wisma SISMA Auto, bangunan empat tingkat seluas 55,000 kaki persegi yang dibina khusus dengan kos RM30 juta.
Bangunan canggih ini merealisasikan Pengalaman Runcit Mampan yang menerapkan gabungan pelbagai inisiatif seperti penuaian air hujan, penggunaan tenaga suria, reka bentuk muka bangunan bertebat cekap tenaga, pencahayaan dan pengudaraan cekap tenaga dan maksimumkan elemen hijau di tapak tersebut. Penggunaan perabotnya pula adalah yang terkini hasil penyumberan dan pembuatan yang lestari.

Volvo SISMA Auto Sungai Besi menempatkan bilik pameran Volvo terbesar di Malaysia yang mampu memuatkan sehingga 16 buah kereta baharu dan kereta terpakai SELEKT. Pengunjung dapat menikmati pengalaman runcit premium di ruang menunggu ala Scandinavia yang menampilkan gaya yang kemas dan ringkas yang mencerminkan minimalisme dan kefungsian namun tetap menonjolkan keindahan.
Pusat servis Volvo SISMA Auto Sungai Besi tersebut serba lengkap dengan peralatan diagnostik Volvo berkomputer terkini, pelbagai peralatan khas Volvo serta kelengkapan penjajaran dan pengimbangan roda.
Dengan pasukan yang dilatih khusus dan diiktiraf oleh Volvo, pusat ini sedia menangani segala keperluan servis bagi semua model Volvo, sama ada model enjin pembakaran, hibrid atau kenderaan elektrik. Ia juga dilengkapi pengecas DC kapasiti tinggi 120kW untuk kegunaan umum.

Pelanggan boleh menikmati kemudahan yang disediakan oleh Volvo SISMA Auto Concierge Service yang menawarkan perkhidmatan pengambilan dan penghantaran kenderaan dari rumah atau pejabat.
Lokasi baharu Volvo SISMA Auto Sungai Besi yang strategik di Lebuhraya Sungai Besi memberikan akses yang mudah kepada pelanggan dan membolehkan pusat ini menyediakan perkhidmatan kepada sebilangan besar pemilik dan bakal pemilik Volvo di serata Lembah Klang.
Pengarah Urusan Kumpulan SISMA Auto Syed Khalil Syed Ibrahim menyatakan pusat itu memperlihatkan pengembangan perniagaan Volvo syarikat tersebut dan membuktikan keyakinannya terhadap masa depan jenama Volvo di Malaysia.

“Lokasi asal kami di Glenmarie sudah tidak mampu menampung pertumbuhan perniagaan Volvo yang dimulakan sekitar enam tahun lalu. Pusat yang lebih besar dan lebih baik ini dibangunkan memandangkan jumlah pelanggan yang kian meningkat. Ia juga berfungsi sebagai penambahan kepada lokasi jualan sedia ada kami di Bukit Bintang, yang berada di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.
“Penggunaan kenderaan elektrik kini semakin meluas di Malaysia. Kami melihat adanya peluang pertumbuhan yang pesat memandangkan Volvo merupakan perintis di kalangan pengeluar kenderaan terkemuka yang mempunyai aspirasi agresif ke arah masa depan yang mampan,” katanya.
Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia Sdn Bhd (VCM) Charles Frump turut menzahirkan penghargaan terhadap SISMA Auto atas kesanggupan syarikat tersebut membuat pelaburan untuk mengembangkan jenama Volvo di negara ini.
“Kami teruja kerana mempunyai rakan niaga tempatan yang komited yang sedia bekerjasama untuk menaikkan jenama ini dan bersama mengorak langkah ke arah pengelektrikan. Kami berazam menawarkan kebebasan pergerakan yang mampan dan selamat kepada pengguna,” ujarnya.
Pusat Volvo Sisma Auto Sungai Besi yang baharu ini terletak di Wisma Sisma di 855, Lebuhraya Sungai Besi, Sungai Besi, 57100 Kuala Lumpur. Pusat ini beroperasi dari 9.00 pagi hingga 7.00 malam pada hari Isnin hingga Jumaat, dan dari 10.00 pagi hingga 5.00 petang pada hari Sabtu dan Ahad.
GALERI








