
SISTEM KAWALAN KESTABILAN ELEKTRONIK BUKAN KEBAL, BUKAN LESEN UNTUK MEMANDU SECARA MELULU
Selain terkenal dengan buah strawberry, Cameron Highland juga terkenal dengan kehadiran trak pikap 4×4 yang digunakan sebagai alat utama untuk mengangkut hasil pertanian dari kebun ke pusat jualan. Isuzu D-Max, Toyota Hilux, Mitsubishi Triton, Nissan Navara dan juga Ford Ranger adalah trak pikap popular disana bagi menggantikan Land Rover yang sudah dimamah usia.
Kebanyakan trak pikap ini akan hadir samaada varian Double Cab untuk memuatkan penumpang ataupun Single Cab bagi memaksimakan muatan barang. Sama seperti kenderaan penumpang yang lain, trak pikap generasi baru akan hadir dengan ciri kawalan kestabilan elektronik. Ia ciri wajib bagi kenderaan penumpang bagi mengelakkan risiko terbabas dalam situasi kecemasan.
Ia adalah teknologi brek ABS yang akan membrek secara automatik kepada mana-mana tayar secara individu sekiranya ia mengesan kenderaan mulai terbabas. Berbeza dengan brek ABS, ABS akan diaktifkan bila pedal brek ditekan. ESC tidak perlu input daripada pemandu dan akan bertindak secara automatik apabila ia mengesan kereta “mungkin” akan terbabas

Tanpa sedar, ESC mungkin telah banyak membetulkan kesilapan pemandu tanpa sedar, memaafkan kesilapan pemandu di selekoh dan memastikan pemandu sentiasa keluar dari masalah dengan syarat ia tidak melawan hukum fizik. Keadaan ini secara tak langsung menjadikan pemandu rasa mereka memandu semakin baik, semakin kebal walhal kesilapan mereka dibetulkan oleh sistem ESC
Dalam video yang tular baru-baru ini, terdapat sebuah trak pikap Single Cab terbabas setelah memotong sebuah kenderaan, ketika menuruni bukit yang berselekoh. Ia memotong di jalan lurus, memasuki semula jalan asal dengan tergesa-gesa selepas menyedari ada kenderaan lain di laluan bertentangan
Sebaik sahaja masuk ke laluan asal, pemandu menekan brek sebelum belok semula ke kanan. Dari aspek dinamik pemanduan ia boleh dinilai dengan memecut, memotong secara zig-zag dan membrek di selekoh sebelum berakhir di dalam longkang. Pada pendapat penulis, terlalu banyak input yang perlu diuruskan oleh sistem ESC dalam satu masa, terutama bagi sebuah trak pikap yang dipandu secara melulu

Trak pikap secara fizik adalh tidak stabil kerana ia lebih tinggi, menggunakan pacuan belakang, berat yang tidak sekata dan cengkaman pada permukaan jalan adalah bergantung pada keadaan dan jenis tayar. Jika ia menggunakan tayar Mud Terrain atas permukaan jalan bertar, maka cengkamannya adalah sangat kurang. Secanggih mana pun sistem kawalan kestabilan elektronik, ia masih tidak boleh melaawan hukum fizik
Pembaca perlu ingat bahawa walaupun datang dengan ESC, peranan membrek masih perlu dibuat oleh tayar. Keadaan tayar yang bagus dan berkualiti adalah satu faktor yang amat penting dan sering diabaikan oleh pemandu. Sistem ESC hanya boleh bertindak dalam keadaan cemerlang jika bunga tayar masih ada, tayar tidak keras dan masih memberikan cengakaman yang bagus.
Tanpa cengkaman atau tayar yang botak akan menjejaskan keupayaan ESC menjalankan tugas dengan cekap selain daripada faktor berat kenderaan, kedudukan pusat graviti, halaju dan keadaan permukaan jalan bagi menjamin ESC bekerja dengan bagus. Tayar yang bagus dan berkualiti akan memaksimakan kecekapan ESC dalam situasi kecemasan

Jadi kami nasihatkan pemandu agar ingat 2 perkara ini ketika memandu agar sentiasa selamat walaupun kenderaan dilengkapi dengan Sistem Kawalan Kestabilan Elektronik. Yang pertama memandu dalam keadaan cermat dan berhati-hati (defensive driving) dan yang kedua sentiasa pastikan tayar memiliki bunga yang baik dan dalam keadaan bagus.
ESC boleh mengurangkan risiko kemalangan dan terbabas, tapi ia tidak mampu melindungi anda jika anda memandu dengan melulu. Ia bukan lesen untuk anda memandu laju di jalan raya awam.



