Artikel Pilihan

KENAPA KERETA SPORT/SUPERCAR SEMPIT? TAK BOLEH LUAS KE?

Kalau anda perhatikan dengan teliti, anda akan dapati bahawa kenyataan di atas benar sama sekali. Cuba anda bayangkan mana-mana kereta sport moden yang terlintas dalam kepala anda, mesti anda boleh rasa kereta tersebut agak sempit. 2 orang penumpang mungkin boleh muat dengan selesa, tapi 4 orang adalah mustahil untuk duduk selesa melainkan mereka tiada kaki.

Mazda Miata RF, Toyota Supra, Toyota GT-86, Subaru BRZ, dan Lotus Elise, Toyota MR-2 adalah contoh kereta sport yang boleh tahan sempitnya. Mungkin kalau dalam kategori kereta sport, hanya Honda Civic Type-R sahaja yang boleh tahan luasnya dengan 4 atau 5 penumpang, 4 pintu dan ruang kargo belakang yang luas

Tapi dari segi agihan berat, Honda Civic Type-R adalah kurang sekata. Beratnya adalah 62:38 atau dalam bahasa mudah 62% beratnya tertumpu di bahagian depan dan 38% adalah tertumpu di bahagian belakang. Ini kerana enjin, transmisi 6 kelajuan dan pelbagai komponen mekanikal Civic Type-R berada di bahagian depan. Kereta yang berat di depan akan mudah mengalami understeer.

Tapi bagi sebuah kereta yang direka khusus untuk prestasi, rekaannya mestilah memenuhi hukum fizik dahulu. Ia mestilah memiliki agihan berat 50:50 yang ideal pada pusat graviti, kerana agihan sebegini memiliki momen inersia yang bagus. Semua berat kenderaan bertumpu di bahagian tengah kereta, berhampiran pusat graviti bagi memudahkan kereta mengubah arah ketika mengambil selekoh

Ini bermakna jurutera perlu meletakkan enjin, transmisi, dan hampir semua komponen mekanikal dipasang di bahagian tengah kereta. Bahagian tengah kereta kita boleh takrifkan iaitu bahagian antara roda depan dan belakang atau wheelbase. Bagi kereta penumpang, bahagian ini akan dimuatkan dengan ruang penumpang yang selesa dan lapang

Bagi kereta sport, ruang ini akan diambil oleh enjin, transmisi dan komponen mekanikal. Semuanya akan disumbat dalam ruang kabin menjadikan ruang ini amat sempit. Tambahan pula suspensi tayar belakang akan menggunakan rekaan suspensi double wishbone atau apa-apa rekaan suspensi yang kompleks, sekaligus menggunakan ruang yang besar terutama di bahagian kargo belakang

Owh Toyota Supra enjin di depan, bukan guna Mid Engine macam Ferrari. Kenapa rasa sempit juga? Walaupun Toyota Supra meletakkan enjin di bahagian depan, kedudukan enjin telah dianjak sedikit ke balakang, secara tepatnya di belakang gandar depan. Bukan di depan atau di atas gandar depan. Ini membolehkan berat enjin berada dekat dengan pusat gravit bagi agihan berat ideal.

Rekaan sebegini biasanya digelar Front-Mid Engine dan salah satu kelebihan rekaan sebegini ialah ia lebih memaafkan pemandu sekirnya mereka terbabas di selekoh. Tapi sama seperti rekaan Mazda Miata, rekaan sebegini merompak ruang kabin menjadikannya selesa hanya untuk 2 penumpang sahaja.

Semua ini dibuat agar pemandu atau pemilik boleh berseronok dengan kereta sport ini di laluan berselekoh dan mungkin juga di litar lumba. Pokok pangkalnya, bila enjin dan transmisi diletakkan dekat dengan pusat graviti tidak kisah di bahagian depan (Front Mid Engine) atau belakang (Mid Engine Rear Wheel Drive), secara automatiknya ruang penumpang akan menjadi sempit, dikorbankan agar pengendalian kereta menjadi mantap

Google ads
Back to top button