
SKEMA WARNA BAHARU SILVER UNTUK PASUKAN TOYOTA GAZOO RACING. NAMPAK LEBIH BERSINAR KAN?
Pasukan Toyota Gazoo Racing telah memperkenalkan livery baharu, warna Silver yang agak menarik untuk jentera rali mereka Toyota GR Yaris Rally1, sebagai menandakan penampilan baharu pasukan itu ketika perlumbaan FIA World Rally Championship WRC menuju ke fasa musim panas di Eropah.
Didedahkan pada penghujung bulan April yang lalu, reka bentuk baharu itu menggantikan skema warna berasaskan hitam yang digunakan pada empat pusingan pembukaan musim 2025, termasuk Rally Islas Canarias di mana pasukan itu mencatatkan penamat 1-2-3-4 yang diketuai oleh mantan juara WRC Kalle Rovanperä.

Reka bentuk livery baharu Silver tersebut mengekalkan aksen merah dan hitam yang merupakan tanda pengenalan untuk Toyota, menawarkan identiti visual baharu yang berani sambil mengekalkan kesinambungan dengan gaya tradisional pasukan.
Livery baharu itu akan membuat penampilan sulung kompetitifnya di Vodafone Rally de Portugal pada 15 hingga 18 Mei ini, membabitkan barisan pemandu handalan diterajui pendahului pungutan mata, Elfyn Evans, Kalle Rovanperä, Sébastien Ogier dan Takamoto Katsuta akan menyasarkan untuk membina permulaan mengagumkan skuad untuk kempen seterusnya mengukuhkan kedudukan pendahuluan mereka dalam kategori pengeluar.
Untuk rekod, livery berwarna hitam telah mula digunakan semenjak dari tahun 2024 lagi terhadap jentera Rally1 mereka dan agak pelik apabila pasukan Toyota masih lagi mengekalkan livery yang serupa untuk permulaan kempen WRC 2025 ini.

Menurut cakap – cakap pemandu, livery berwarna hitam itu sebenarnya telah menyebabkan suhu di dalam kabin bertambah panas apabila warna hitam tersebut lebih cepat menyerap haba. Dengan perubahan warna Silver ini pastinya akan membuatkan suhu dalam kabin setidaknya tidaklah sepanas sebelum ini apatah lagi mereka akan mula berlumba di benua Eropah dengan musim panas.
Prestasi pasukan Toyota musim ini dilihat cemerlang sementelah memenangi semua empat pusingan setakat musim ini, dengan kemenangan Gran Canaria melalui Kalle Rovanperä, diikui kemenangan oleh Elfyn Evans di Kenya dan Sweden serta Ogier di Monte-Carlo. Pasukan Toyota itu kini mempunyai 96 kemenangan WRC dan hampir mencapai rekod 102 yang dipegang oleh Citroën.
Kredit Foto : Toyota Gazoo Racing
BACA : LIMA BUAH TOYOTA GR YARIS RALLY1 AKAN BERAKSI DI FINLAND DENGAN SAMI PAJARI AKAN MEMBUAT DEBUT
BACA : FORUM8 RALLY JAPAN MINGGU INI. TEKANAN PASTINYA UNTUK PASUKAN TOYOTA GAZOO RACING

