Buletin

ŠKODA FABIA R5 2019, LAGI LAJU (TAPI RAHSIA)

Dalam perlumbaan rali, terdapat dua kategori kereta iaitu Kumpulan R (Group R) dan WRC.

Kumpulan R ini asalnya adalah daripada kereta Kumpulan A (Group A) dan Kumpulan N (Group N).

Di antara Kumpulan R dan WRC, jelas kereta spesifikasi Kumpulan R (R1 – R5 dan RGT) lebih mesra pelumba persendirian dan pasukan bebas.

Kereta WRC pula digunakan untuk bersaing dalam kategori utama rali dunia seperti Toyota Yaris WRC, Hyundai i20 WRC dan pelbagai lagi.

Walaupun berita tentang WRC lebih banyak diketengahkan di media, hakikatnya kereta rali Kumpulan R turut popular.

Ini kerana kereta rali kumpulan R atau contoh terdekat kereta R5 mudah di lihat pada rali serantau seperti Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) yang mempunyai pusingan di Malaysia.

Di antara kereta rali R5 yang popular di peringkat dunia ialah ŠKODA Fabia R5. Di peringkat tempatan pula ialah Proton Iriz R5 yang dibangunkan oleh Mellors Elliot Motorsport.

ŠKODA FABIA

Penonton APRC pusingan Johor Bahru biasa dihidangkan dengan ngauman dan debu hasil daripada belasahan ŠKODA Fabia R5 di celah-celah pokok kelapa sawit.

Untuk musim 2019, sudah sampai masanya kereta rali ikonik ini diperbaharui dan ŠKODA bakal mempertonton model kemaskini di Pameran Kenderaan Antarabangsa Geneva (GIMS) pada Mac depan.

GIMS adalah pameran yang berprestij dan ini menunjukkan kehebatan ŠKODA Fabia R5 2019.

Skoda Fabia Combi Monte Carlo

ŠKODA tidak memperincikan dengan jelas perubahan pada model Fabia R5 2019 (biasanya rahsia) kecuali kemaskini kosmetik mengikut Fabia 2019 dan ubahsuai pada enjin 1.6 liter turbo yang kini lebih berkuasa dan responsif.

Paling banyak dikongsi oleh ŠKODA ialah lampu baharu, kuasa enjin ditingkatkan dan lebih tahan lasak.

Model ini sebenarnya masih belum melepasi homologasi International Motorsport Federation FIA dan jangan risau siapa yang berhajat untuk memilikinya ujian tersebut akan dibuat pada suku kedua tahun ini dan kemudian sudah boleh dibeli.

Model ini telah melalui ribuan kilometer ujian di atas trek tanah dan aspal termasuk di dalam salji dan ais.

Skoda Fabia R5 (2018)

Menurut Ketua ŠKODA Motorsport, Michal Hrabánek, mereka mahu pelanggan dapat kereta yang sempurna dan terus boleh dipertandingkan.

Rekod kereta ini memang hebat. Pada tahun 2018, jenama ŠKODA memenangi Kejuaraan Pasukan dalam kategori WRC 2 manakala ŠKODA Motorsport pula meraikan kejayaan tiga teratas untuk kategori pemandu dan juru pandu arah.

Pelanggan ŠKODA juga mencatat kejayaan di serata dunia seperti memenangi APRC, Kejuaraan Rali Amerika Selatan (CODASUR), Kejuaraan Rali Afrika (ARC) dan 17 kemenangan dalam rali kebangsaan.

Fabia yang ini pernah dijual di Malaysia

Setakat tahun lalu, ŠKODA Fabia R5 laku keras dengan 252 unit dihantar ke pelanggan serata dunia. Pada tahun 2018 sahaja 80 unit dibeli oleh pelanggan.

Untuk musim 2019, ŠKODA Motorsport bakal menyertai pusingan terpilih FIA WRC dan bertanding dalam kategori baharu Kejuaraan Pro WRC 2.

BACA: ŠKODA, KURANG DIKENALI DI MALAYSIA TETAPI JUALAN 7 ANGKA!

BACA: ŠKODA Kodiaq vRS, ADAKAH INI SUV ATAU KERETA SPORT?

Google ads
Back to top button