
SKODA OCTAVIA VERSI KEMAS KINI. LEBIH SEGAR DAN MENAWAN UNTUK MODEL CARI MAKAN SKODA
Skoda Auto telah mengemaskini model ikonik mereka, Skoda Octavia dan juga varian Estate / Wagon / Combi untuk versi 2025 nanti. Untuk rekod, model Skoda Octavia ini merupakan model yang paling laris buat pengeluar dari Republik Czech ini dengan sejumlah tujuh juta unit telah terjual secara keseluruhan.
Dan kini model generasi keempat Skoda Octavia ini telah pun diberikan sedikit perubahan supaya ianya kelihatan segar dan lebih terkini setelah beberapa tahun berada dalam pasaran.

Untuk rekod, Skoda Octavia ini telah menjadi tunjang utama semenjak pengeluaran pertamanya pada tahun 1996 terus menjadi pilihan pengguna sehingga ke hari ini.
Sedikit perubahan tersebut meliputi rekaan gril baharu supaya penampilan luarannya lebih segar berserta dengan generasi terkini lampu utama LED Matrix yang telah diguna pakai. Malah, bahagian bampar hadapan dan belakang juga diberikan nafas baharu dengan rekaan terkini yang lebih elegan penampilannya supaya senada dengan rekaan gril baharu.

Selain daripada lampu bahagian hadapan menerima rekaan baharu, lampu utama belakang juga turut diberikan perubahan termasuklah dengan penunjuk animasi selain daripada rekaan baharu rim juga turut diberikan perhatian oleh Skoda terhadap model ikonik mereka ini.
Pada bahagian kabin, Skoda telah menggunapakai bahan produk yang mampan meliputi tempat duduk, papan pemuka dan juga panel pintu. Untuk pemandu, tersedia Virtual Cockpit bersaiz 10.25 inci untuk memaparkan maklumat penting mengenai kenderaan kepada pemandu.

Manakala untuk sistem infohiburan, paparan bersaiz 13 inci telah digunakan untuk model Octavia ini buat pertama kalinya . Dan menarik juga apabila ianya turut dilengkapi dengan fungsi Chatbot ChatGPT berasaskan AI untuk memudahkan pemandu.
Model kemaskini Octavia ini juga menampilkan fungsi pengecasan tanpa wayar dengan pengecasan 15 watt yang lebih berkuasa serta empat port USB-C pengecasan pantas dengan output kuasa 45 watt.
Pilihan trenkuasa meliputi daripada dua enjin petrol 1.5 TSI, setiap satunya juga tersedia dengan teknologi hibrid ringan, satu enjin petrol 2.0 TSI yang dijana kuasa dan dua diesel 2.0 TDI. Output berjulat daripada 116 PS (85 kW) hingga 265 PS (195 kW).
BACA : SKODA OCTAVIA RS COMBI – WAGON KELUARGA YANG LAJU & SPORTY


