
SUZUKI GSX-R125 2024, 15PS, ABS, GBP4.69 RIBU (RM27.9 RIBU) DI UK
Berapa kecil enjin sesebuah siri motosikal ternama yang boleh dibuat? Di dalam negara pengguna sudah dibiasakan dengan motosikal gaya superbike bernadikan enjin 150cc.
Di Eropah pengguna boleh mendapatkan sesaran lebih kecil seperti Suzuki GSX-R125 atau boleh dikatakan sebagai adik GSX-R150 yang dijual di pasaran tempatan.
Di dalam mempelbagaikan tawaran, Suzuki Malaysia juga berani dan baru sahaja membawa masuk skuter kecil Burgman 125 dan menjualnya bersama Burgman 400.
Terbaru untuk pasaran United Kingdom (UK), Suzuki memperkenalkan GSX-R125 dengan dua pilihan warna baharu.
Warna Pearl Brilliant White dan Mettallic Triton Blue ala gaya retro dan meraikan warisan GSX-R sejak sekian lama.
Warna Titan Black dan Solid Black dengan gaya misteri diserlahkan grafik dan rim merah.
Dari segi saiz, GSX-R125 mempunyai ukuran panjang 2,000 milimeter (mm), lebar 700 mm dan tinggi 1,070 mm yang semuanya sama seperti GSX-R150.
Tinggi pelana juga sama iaitu 785 mm namun kelegaan bumi sedikit rendah iaitu 155 mm berbanding 160 mm pada model 150.
Enjin 124cc DOHC satu silinder sejukan cecair menghasilkan 15 ps pada 10,500 rpm dan tork 11Nm pada 8,500 rpm. Tangki petrol mempunyai kapasiti 11 liter dan sama seperti model 150.
GSX-R125 juga dilengkapi Suzuki Easy Start System yang menghidupkan enjin secara automatik dengan satu sentuhan tanpa perlu menekan penuh dan menunggu sehingga enjin dihidupkan.
Satu perkara yang diambil kira Suzuki ialah penggunaan lampu LED depan yang disusun dengan lampu alur rendah di atas alur tinggi dan lampu kedudukan di kanan dan kiri.
Lampu depan LED lebih ringan, padat dan tahan lebih lama berbanding lampu dengan mentol halogen.
Lampu depan LED hanya menggunakan sekitar 15 peratus kuasa elektrik yang diperlukan mentol biasa dan dengan itu kuasa yang diperlukan enjin untuk menguasakan pengulang-alik (alternator) berkurangan.
Hasilnya boleh dilihat pada pecutan dan penggunaan bahan api yang lebih baik.
Sistem brek antikelincir (ABS) pada GSX-R125 dari model Bosch ABS 10 terbaru dan merupakan sistem ABS dua saluran paling kompak dan ringan di pasaran. Sistem itu hanya seberat 0.59 kilogram.
Di UK, Suzuki GSX-R125 ditawarkan pada harga 4,699 pound (RM27,908) (OTR) termasuk rebat berjumlah 500 pound (RM2,969) sehingga 30 Jun.
Angka itu semestinya jauh berbeza daripada GSX-R 150 yang ditawarkan pada harga RM11,329 (sebelum OTR) semasa dilancarkan pada Mac 2022.
Tinggi jika ditukar kepada matawang tempatan namun perlu dikira pada nilai 4,700 pound dan berdasarkan pendapatan di sana.