Buletin

HONDA CITY HATCHBACK 2024 RASMI DILANCARKAN – JANA 109PS, HARGA BERMULA RM112K

Honda Malaysia hari ini mengumumkan secara rasmi ketibaan Honda City Hatchback versi facelift 2024 untuk pasaran tempatan.

City Hatchback versi facelift ini tiba dalam lima varian; V, E, S e:HEV RS, Petrol RS, di mana ia menerima reka bentuk yang lebih sporty dengan varian tertinggi, e:HEV RS dipadankan bersama gril honeycomb baharu, gril bawah hadapan dan rekaan bampar agresif termasuk kemasan lampu kabus.

Daya tarikan sporty varian e:HEV RS diserlahkan lagi melalui kemasan bawah bampar belakang, kemasan sisi dan rim 16 aloi-inci berwarna Berlina Black.

Dari segi dimensi, kedua-dua varian Petrol RS serta e:HEV RS kini mempunyai ukuran panjang 4,369mm manakala varian S, E, dan V berukuran 4,350mm.

Bahagian dalam City Hatchback hanya menerima perubahan kecil seperti soket pengecas yang ditukar kepada unit USB-C (e:HEV sahaja), selain terdapat poket kecil di bahagian belakang tempat duduk hadapan (e:HEV sahaja).

Kelengkapan lain turut dimuatkan adalah seperti, Display Audio 8-inci dengan ketersambungan Apple Carplay/Android Auto bagi varian Petrol dan e:HEV RS serta skrin TFT 7-inci.

Perincian lain termasuklah kemasan hitam di bahagian dalam bersama tempat duduk balutan fabrik, pengawal pendingin hawa, sistem masuk dan mula tanpa kunci, butang pemula enjin, skrin info MID 4.2-inci dan empat pembesar suara.

Untuk ciri keselamatan, Honda SENSING kini didatangkan secara standard untuk semua varian dengan ciri tambahan seperti ciri Lead Car Departure Notification (LCDN) dan Low Speed Follow (LSF) bagi varian RS.

Bagi memberi nilai tambah kepada pembeli, Honda CONNECT kini didatangkan sebagai pilihan aksesori bagi varian S, E dan V.

Beralih pada kuasa pula, Varian RS dikuasakan oleh nadi 1.5L e:HEV, menghasilkan 109PS dan 253Nm tork, sementara varian lain dijana oleh enjin petrol 1.5L DOHC i-VTEC, menghamburkan 121PS dan 145Nm tork.

Bagi harga pula, perinciannya adalah seperti dinyatakan dibawah:

  • e:HEV RS: RM112,900
  • Petrol RS: RM100,900
  • V: RM95,900
  • E: RM90,900
  • S: RM85,900

GALERI:

Google ads
Back to top button