ŠKODA SUPERB SPORTLINE 2025, WAGON DAN HATCH BERGAYA!
Škoda dan Volkswagen satu daripada contoh pengeluar dapat menawarkan kenderaan secara seiring walaupun berada dalam satu kumpulan yang sama.
Meskipun kini tinggal Volkswagen di pasaran tempatan, Škoda berada di Vietnam dengan dua model iaitu Kodiaq dan Karoq.
Škoda Superb generasi keempat diperkenal pada November 2023 dan tidak seperti Passat ditawarkan dalam kedua-dua gaya badan liftback (Hatch) dan wagon (Combi).
Passat generasi kesembilan hanya dibuat dalam versi wagon kecuali sedan di China melalui Volkswagen Magotan.
Terbaru Škoda memperkenalkan Superb Sportline untuk kedua-dua model Combi dan Hatch.
Superb Sportline meneruskan tradisi varian sporti Škoda dengan membawa ciri terbaik model asas dan diadun bersama rekaan bergaya dan lebih banyak kelengkapan.
Penawaran enjin meriah melalui pilihan 1.5 liter TSI 150 ps, 2.0 liter TDI (diesel turbo) 150 ps dan 193 ps atau 2.0 TSI 265 ps.
Superb Sportline tampil dengan perkakasan hitam kilat yang boleh dilihat pada bingkai jeriji radiator, bingkai tingkap, perumah cermin sisi, garisan pada bampar depan dan peresap belakang dan beberapa lagi bahagian luar.
Sementara rak bumbung Superb Sportline Combi berwarna hitam, Superb Hatch pula pada spoiler belakang.
Rim Vela 18 inci warna antrasit (batu arang) dengan penutup aerodinamik hitam kusam dibekalkan dari kilang dan jika tidak mahu Škoda menawarkan dua pilihan lain.
Rim Aniara 19 inci warna perak dan penutup aerodinamik hitam atau rim Torcular hitam penuh juga dalam ukuran sama.
Identiti Sportline ditunjukkan lagi melalui logo pada dapra depan dan logo Škoda hitam pada pintu but.
Lampu LED Matrik depan dan lampu LED belakang dengan animasi, sistem kemasukan tanpa kunci KESSY Advanced (buka dan kunci kereta automatik) dan lampu hendal pintu berada dalam senarai ciri asas.
Bahagian dalam juga istimewa dengan kerusi standard atau pilihan.
Kerusi standard Microsuede Sport didatangkan bersama fungsi larasan ergonomik elektrik penuh dan urutan dengan kusyen udara sepuluh kawalan pneumatik dan dibalut Microsuede dan kulit tiruan.
Kerusi pilihan Suite Sport Design Selection menawarkan kerusi sport yang diperakui AGR (Aktion Gesunder Rücken – Kempen Kesihatan Belakang) dan badan bebas dari Jerman.
Kerusi ini mempunyai ergonomik lebih baik dan dilengkapi memori larasan dan Kemasukan Keselesaan Pintar, pengudaraan dan urutan dengan kusyen udara sepuluh kawalan pneumatik dan dibalut kulit berongga dan tiruan.
Ciri lain pada bahagian dalam seperti pelapik bumbung hitam, stereng balutan kulit dan logo Sportline, riasan papan pemuka dan panel pintu dengan corak karbon dan pelapik pedal besi.
Skrin Kokpit Maya 10 inci mempunyai grafik khas Sportline dan skrin maklumat hibur berukuran 13 inci. Dalaman kereta turut meriah dengan lampu suasana.
Tidak hanya menjual gaya, Superb Sportline direndahkan sebanyak 15 milimeter berbanding varian standard dan pelanggan ditawarkan pilihan Dynamic Chasis Control (DCC Sport).
DCC membolehkan pemandu membuat tetapan ampaian untuk pemanduan selesa atau dinamik. Stereng Sportline juga berbeza dengan tetapan progresif.