Buletin

ŠKODA VISION iV, KUNING BUAT ABANG TERTAWAN

ŠKODA adalah sebuah syarikat yang menggunakan prinsip reka bentuk mudah, tiada permukaan yang rumit atau susah hendak dihayati.

Model-model keluaran ŠKODA disasarkan untuk pengguna yang mahukan sebuah kenderaan boleh dipercayai dan diharap.

Platform dan teknologi pula berkongsi dengan Kumpulan Volkswagen.

Namun sejak kebelakangan ini ŠKODA sudah tampil dengan imej baharu yang lebih sensasi dan beremosi.

Perubahan tersebut tidaklah seradikal Toyota dan masih berpegang kepada prinsip ringkas dan tenang.

Atau mungkin ŠKODA mahu tampil radikal? Reka bentuk pada model kajian VISION iV ini benar-benar menarik perhatian.

Ditambah pula dengan warna kuning yang senang menangkap mata.

VISION iV ini sebenarnya adalah bayangan kepada model elektrik ŠKODA pada masa depan.

Kumpulan Volkswagen sekarang ini dalam program elektrifikasi dan ŠKODA turut tidak terkecuali.

Pengeluar daripada Republik Czech ini bakal tampil dengan EV pertama menggunakan platform elektrik Kumpulan VW sedia ada iaitu MEB.

Sekarang sah trend coupé crossover menjadi-jadi apabila model konsep ini turut menggunakan gaya badan tersebut.

Selain reka bentuk yang jelas menarik perhatian, ŠKODA VISION iV ini canggih dengan dua motor elektrik yang terpisah dan mengerakkan roda depan dan belakang.

Ini adalah bentangan biasa untuk EV yang menjadikannya sebagai sebuah SUV pacuan kesemua roda (AWD).

Kuasa 225 kW atau 306 ps diagihkan di antara roda bergantung kepada keperluan menjadikan ia sebuah SUV yang sedap dipandu dan selamat.

Dari segi jarak dan standard WLTP, ŠKODA VISION iV boleh dipandu sehingga 500 km manakala bateri boleh dicas sehingga 80 peratus dalam masa 30 minit sahaja.

Kelajuan maksimum crossover ini ialah 180 km/j dan terima kasih kepada motor elektrik yang memberikan kuasa tujahan maksimum serta merta, pecutan dari 0 hingga 100 km/j hanya mengambil masa 5.9 saat sahaja.

Pecutan dari 80 hingga 120 km/j pula mengambil masa kurang daripada empat saat.

Satu lagi ciri canggih ialah penggunaan pengimbas laser, pengesan radar dan kamera untuk pemanduan autonomi dan parkir tanpa bantuan pemandu.

Selari dengan trend terkini, VISION iV menggunakan telefon pintar sebagai kunci digital dengan fungsi buka kunci dan menghidupkan enjin (motor elektrik).

ŠKODA VISION iV benar-benar mengeksploitasi dunia digital apabila mampu memeriksa kadar denyutan jantung pemandu.

Apa  yang berlalu seterusnya? Sistem akan menawarkan peningkatan tahap keselamatan dan jika perlu menghentikan terus kenderaan secara automatik!

Hebat sungguh, ini bukan lagi sebuah ŠKODA serba ringkas tetapi jenama yang hadir  dengan teknologi sofistikated dan canggih!

Google ads
Back to top button