
SKUTER INSPIRASI PEUGEOT EXALT
Peugeot memperkenalkan model edisi istimewa Speedfight 4 Total Sport sempena meraikan ulang tahun pengeluaran model berkenaan yang ke-20 tahun. Pada masa sama menandakan kerjasama selama dua dekad dengan syarikat minyak Total.
Dibina berasaskan kepada skuter Speedfight generasi keempat, Total Sport menampilkan enjin penyejukan cecair dua lejang yang menggunakan karburator Dell’ Orto.
Hasilnya enjin berkenaan mampu menghantar 5 peratus lebih kuasa dan 15 peratus lebih tork berbanding generasi sebelumnya.
Keselesaan tunggangan ditunjangi oleh fork 32mm di hadapan dan penyerap hentak di belakang. Bahagian kaki menerima rim aloi 12 inci. Ini menyumbang kepada pengendalian yang stabil dan lebih tajam.
Penggayaan Speedfight 4 Total Sport diinspirasikan daripada kereta konsep Peugeot Exalt. Bahagian hadapan menggabungkan lampu hadapan helicoid yang dipisahkan dengan gril dan penutup minyak berbentuk penerbangan.
Melengkapkan lagi pelekat perlumbaan Total, bahagian badan menerima kemasan hitam matt. Ia diserlahkan dengan ruang pengambilan udara, perehat kaki aluminium, indikator membelok menggunakan lampu kristal mikro, spoiler belakang dan silencer sport terbalik.
Untuk kemudahan mengecas, Peugeot menyediakan USB dan soket 12V serta ruang meletak telefon pintar RAM X-Grip.
Speedfight 4 Total Sport dijual pada harga £2099 seunit.











