Buletin

SPORT RIM GENTIAN KARBON KHAS UNTUK PORSCHE 911 TURBO S

Porsche nampaknya mencuba sedaya upaya mereka untuk membuatkan model baru 911 Turbo S Exclusive Series mereka nampak super istimewa. Bukan hanya ia diberi tambahan kuasa, cat luaran dan kemasan dalam yang unik, kini ia juga ditawarkan dengan sport rim jalinan gentian karbon yang cukup mahal lagi bergaya.

Rim dengan lima jejari ini memang kelihatan ringkas dan klasik tetapi bila dihasilkan dari gentian karbon harganya memang jual tanah satu kampung pun belum tentu dapat beli. Malah Porsche pun tidak menyatakan harganya. Mungkin mereka tidak mahu membuang masa menjawab soalan mereka yang tak mampu beli kot.

Buat masa sekarang, rim gentian karbon cuma boleh didapati pada model-model supercar istimewa seperti Shelby GT350R, Ford GT dan Koenigsegg. Proses untuk menghasilkan rim gentian karbon ini sebenarnya cukup mahal dan memakan masa sebab itulah tidak ramai yang memilih untuk menghasilkannya walaupun hasilnya sebenarnya cukup menakjubkan.

Untuk lebih memahami bagaimana rim ini diperbuat saksikan pautan video di bawah. Satu set rim seperti ini adalah lebih kurang 8.5 kilogram lebih ringan berbanding rim biasa. Hampir 20 perbezaan berbanding sport rim biasa. Malah Porsche mendakwa ia adalah 20 peratus lebih kuat asalkan anda bukan jenis suka menggesel bahu jalan sesuka hati.

Porsche juga mendakwa mereka adalah pengeluar pertama yang menghasilkan rim seumpama ini. rim ini sebenarnya terbahagi kepada dua, bahagian tengah dan bahagian luar. Ia dicantumkan menerusi jalinan serat ataupun gentian karbon yang kemudiannya dilekatkan dengan resin sebelum dipanaskan dengan suhu tinggi dan kemudian disejukkan kembali. Akhir sekali bahagian centre lock dipasang dan disembur dengan kemasan jernih untuk mengilatkannya.

Satu set rim ini memerlukan serat atau gentian karbon sepanjang hampir 18 kilometer untuk dihasilkan. Untuk model 911 Turbo S Exclusive Series ini ia dihasilkan dengan saiz 20 inci. Tidak dapat dipastikan sama Porsche akan turut menawarkannya untuk model-model lain keluaran mereka, tetapi jika mengikut rekod Porche sebelum ini, mereka tidak kisah asalkan pelanggan sanggup membayar kosnya.

Google ads
Back to top button