" "
Artikel Pilihan

SUBARU BRZ 2022, KAMI PAPARKAN MAKLUMAT TEKNIKAL TERPERINCI

Baru semalam Subaru telah melancarkan Subaru BRZ 2022 yang dijangkan mulai dijual pada bulan Julai 2021. Masih lagi hot fried banana. Pelancaran ini dibuat di Thermal Club Raceway, California. Subaru masih lagi mengekalkan pakej sporti dalam BRZ iaitu berat sekitar 1276 ke 1315kg, pusat graviti yang rendah (setara dengan supercar) dan tempat duduk dengan konfigurasi 2+2.

+2 bermaksud tempat duduk di belakang agak sempit dan hanya sesuai untuk perjalanan jarak dekat. Di kebanyakan negara, jika kereta tersebut hanya menawarkan 2 tempat duduk sahaja, ia akan dikenakan cukai yang sangat mahal disebabkan kereta sport dikategorikan sebagai barang mewah

Cesi Subaru Global Platform yang baru diperkenalkan dengan ketegaran torsional cesi dipertingkatkan sehingga 50% lebih kuat berbanding dengan cesi lama, mengenepikan dakwaan yang cesi BRZ baru menggunakan TNGA. Cesi yang lebih tegar akan memberikan respon stering dan tindakbalas di selekoh yang lebih meyakinkan. Ketegaran lentur sisi depan pula dipertingkatkan sebanyak 60% berbanding model lama bagi pengendalian yang lebih tangkas pada permulaan selekoh.

Bagi menemani cesi yang tangkas, jurutera Subaru meningkatkan ratio steering sehingga 13.5:1 untuk tindakbalas stering yang lebih laju. Suspensi pula ditala berdasarkan pengalaman Subaru dalam perlumbaan rali dan juga perlumbaan lasak 24 jam. Suspensi depan menggunakan topang McPherson dan suspensi belakang menggunakan sistem Multi-Link. Suspensi depan dan belakang akan dilengkapkan bar penstabil dengan diameter lebih besar

Untuk menambah kestabilan BRZ di selekoh, kedudukan tayar belakang telah dilebarkan berbanding dengan model lama. Poin dimana penyerap hentak dipasang telah diperkukuhkan bagi memberikan lagi kestabilan pada kereta. Hasil dari rekaan yang cermat, berat antara gandar depan dan belakang hampir mencapai nisbah 50:50 bagi agihan berat yang sekata pada semua tayar

Bagi unit trenkuasa, enjin boxer aluminium serba baru dengan sesaran 2400cc digunakan untuk menggantikan enjin 2000cc yang lama. Dengan teknologi sistem pancitan bahan api berkembar D-4S (MPI + suntikan bahan api terus) enjin ini menghasilkan 228 kuasa kuda pada 7000 RPM dan 249Nm tork pada 3800 RPM. Enjin ini dibesarkan dengan meningkatkan saiz diameter silinder menjadi 96mm berbanding dengan 86mm. Saiz lejang asal masih lagi dikekalkan.

Bagi mendapatkan 15% kuasa yang lebih, nisbah mampatan yang lebih tinggi digunakan iaitu pada 13.5:1 (model lama 12.5:1) bersama-sama dengan sistem dual Active Valve Control System yang mengawal pembukaan injap kemasukan dan injap ekzos sekaligus. Terdapat 2 pilihan transmisi yang disediakan iaitu samaada 6 kelajuan manual atau 6 kelajuan automatik dengan paddle-shift. Kedua-dua varian akan dilengkapkan dengan Torsen Limited Slip Differential

Bagi versi manual, BRZ akan hadir dengan sistem blip downshift control, bagi memudahkan pemandu menukar ke gear rendah tanpa perlu melakukan heel&toe. Masih lagi berpegang pada prinsip rekaan asal, semua kuasa akan disalurkan pada tayar belakang. Dengan ukuran panjang 4265mm, lebar 1775mm, jarak antara roda 2576mm dan ketinggian hanya 1311mm BRZ sebenarnya sebuah jentera pacuan belakang yang tangkas dan menyeronokkan

Tayar Michelin Pilot Sport 4S bersaiz 215/45 R17 akan digunakan pada varian biasa, manakala bagi varian premium ia akan ditawarkan dengan saiz 215/40 R18. Sistem kestabilan elektronik VSC pula boleh ditetapkan pada 5 mode pemanduan bagi membenarkan pemandu melibas sedikit bahagian ekor sebelum sistem ini diaktifkan semula. Bagi pemanduan di litar, ia boleh ditutup sepenuhnya jika diperlukan

Subaru BRZ 2022 juga dilengkapkan dengan sistem keselamatan tertinggi seperti Subaru Eyesight yang merangkumi amaran pra perlanggaran, brek pra-perlanggaran, sistem pemanduan jelajah automatik, lane keep assist dan pre-collision throttle management. Model terbaru ini juga bakal datang dengan ciri Subaru Starlink yang merangkumi fungsi Apple Car Play, dan Android Auto yang boleh dikawal melalui skrin bersaiz 8 inci.

Di bahagian dalam beberapa perincian baru boleh dijumpai bagi BRZ 2022 ini termasuklah penggunaan meter RPM yang menggunakan digital sepenuhnya dan jika perlu pemandu boleh mendapatkan bacaan G-Meter atau suhu cecair penyejuk sewaktu di litar. Bagi mengekalkan pusat graviti yang rendah, kusyen bucket pemandu juga dipasang dengan lebih rendah. Namun jurutera menghasilkan tiang A, B, dan C dengan lebih nipis bagi memudahkan penglihatan ke arah luar menggunakan high strength steel.

Berbeza dengan model lama, BRZ 2022 direka dengan lebih agresif termasuklah penggunaan lubang udara sisi pada bahagian fender yang lebih besar. Lubang udara ini berfungsi berfungsi mengurangkan geseran dengan membebaskan udara yang terperangkap pada bahagian enjin dan fender, terus ke arah spoiler sisi bagi menghasilkan downforce pada halaju tinggi

Subaru BRZ 2022 dijangka bakal dijual dengan harga permulaan RM 127,000 bagi varian terendah dan RM 135,000 bagi varian premium. Tapi jangan harapkan harga tersebut jika ia mendarat di Malaysia nanti kerana apabila dipasang di Gunma (kawasan kejiranan Fujiwara), harga jualan tertakluk pada cukai kereta import CBU yang mesra cukai.

Google ads
Back to top button