
SUBARU SOLTERRA – SUV ELEKTRIK PERTAMA DARIPADA SUBARU
Subaru of America Inc. buat pertama kalinya mendedahkan model SUV elektrik pertama mereka, Subaru Solterra sewaktu Los Angeles Auto Show 2021. Model SUV elektrik yang dinantikan itu hadir dengan teknologi elektrifikasi yang baharu di dalam kenderaan serta mengekalkan warisan Subaru yang terkenal keupayaan keselamatan model keluarannya.
Paling penting, rekaan Subaru Solterra ini hadir dengan rupa yang agak futuristik pada muka hadapan. Sesuai dengan karektornya sebagai sebuah SUV elektrik. Ianya merupakan evolusi konsep rekabentuk Subaru Dynamic X Solid dengan fleksibiliti rekabentuk daripada Pelantar Global e-Subaru.
Pada bahagian hadapan, gril heksagon khas Subaru telah disepadukan rapat dengan fasia hadapan. Lampu depan LED nipis dan lebar melengkapkan motif reka bentuk ini. Garisan hud rendah juga menyumbang kepada penggayaan anggun SUV, prestasi aerodinamik dan keterlihatan ke hadapan yang sangat baik sambil mengekalkan keselamatan impak pejalan kaki.

Side molding pada ruangan sisi tayar hadapan barangkali kelihatan sedikit besar akan tetapi itulah imej yang berani mahu ditonjol oleh Subaru. Paling penting, SUV ini mempunyai ruang kelegaan bumi yang secukupnya (8.3 inci) bagi meredah sebarang bentuk muka bumi yang mencabar. Siapa kata kereta elektrik sebegini hanya layak untuk dipandu di kota batu sahaja.
Menggerakkan Subaru Solterra ini adalah daripada pek bateri lithium-ion berkapasiti tinggi. Dengan teknologi pengecasan pantas, ianya mampu mengecas bateri sehingga 80% di bawah masa kurang daripada satu jam sahaja. Dengan keupayaan bergerak sehingga 220 batu (354 km), sudah tentu jarak yang diperlukan cukup memadai untuk bergerak jauh tanpa ada masalah.

Dari segi ciri keselamatan dan teknologi Subaru Solterra ini turut menerima lapan beg udara sebagai ciri standard. Dan bagi meningkatkan ciri keselamatan, ianya turut menerima ciri kamera 360 darjah bagi memantau keadaaan sekeliling kenderaan. Begitu juga dengan Blind Spot Monitor dan juga Parking Support Brake yang akan memberhentikan kereta sewaktu sedang mengundur sekiranya mengesan sebarang objek. Dan sebagai sebuah model keluaran Subaru, sudah tentu dilengkapi dengan Subaru Symmetrical All-Wheel Drive yang berupaya untuk memberikan kawalan traksi yang lebih jitu dalam apa juga permukaan dan juga cuaca.
Model Subaru Solterra ini dijangka di pasarkan secara global meliputi negara Jepun, Amerika Syarikat, Kanada Eropah dan juga China.
BACA : GEOMETRY EX3 KUNGFU COW. SUV ELEKTRIK MURAH DI CHINA, CUMA RM38.5K SEUNIT