Buletin

GEOMETRY EX3 KUNGFU COW. SUV ELEKTRIK MURAH DI CHINA, CUMA RM38.5K SEUNIT

Jenama kenderaan elektrik bajet milik Geely, Geometry baru-baru ini memperkenalkan SUV segmen B yang diberi nama EX3 Kungfu Cow ke pasaran China. 

Selain namanya yang pelik, Geometry menawarkan jentera tersebut pada harga cuma AS$9,200 (RM38,500). Ini menjadikannya antara model EV lima tempat duduk paling murah di republik berkenaan. 

EX3 tampil dengan rekaan SUV konvensional. Lampu utamanya kelihatan seperti model Peugeot 308, cladding pada arca roda, roof rail berwarna hijau, perumah cermin sisi dan skirting hitam. 

Walaupun nampak kompak, ruang dalamannya agak luas dengan 26 kompartmen barangan. Ruang kargo seluas 500 liter dan boleh ditingkatkan menjadii 1,050 liter apabila tempat duduk belakang dilipat. 

Papan pemuka nampak moden dan ringkas dengan kluster instrumen bersaiz 10.25 inci. Bahagian tengah pula dihuni oleh skrin 8 inci yang dipasang dengan sistem infohibur G-Link terdiri daripada muzik QQ, Autonavi, radio Ximalaya, kawalan suara, wifi dan aplikasi lain. Upholsteri hitam biru itu dikontraskan dengan kemasan hijau pada papan pemuka dan tali pinggang keledar. 

EX3 Kungfu Cow digerakkan oleh motor elektrik tunggal berkuasa 94hp dan tork 180Nm. Walaupun angka itu tidak mengujakan, Geometry mendakwa ia mampu mencatat perjalanan sejauh 322km dengan sekali caj. Bateri tersebut boleh dicaj dari 0 kepada 80 peratus dalam masa kurang 30 minit jika menggunakan pengecas pantas DC dan menawarkan jarak sejauh 250km. 

Aspek keselamatan bagaimanapun agak asas dengan hanya dua beg udara, sensor mengundur dan kamera, pemantau tekanan tayar, brek ABS serta EBD. 

EV berkenaan ditawarkan menerusi 20 rangkaian oengedar di seluruh China dan dijangka dieksport ke negara luar pada masa depan. 

GALERI

Google ads
Back to top button