Artikel PilihanBuletin

SUBSIDI MINYAK PADA GOLONGAN BERSASAR… INI CADANGAN KAMI…

Semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng membuat pengumuman mengenai Bajet 2019. Salah satu perkara yang menarik untuk dilihat ialah penyelarasan subsidi bahanapi yang disebut sebagai Subsidi Bersasar.

“Kerajaan akan menyediakan subsidi bahanapi petrol gred RON95 sebanyak 30 sen seliter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter bagi motosikal,” katanya.

Tiada perincian lanjut dan hanya pengkelasan kenderaan yang disebut iaitu untuk kenderaan 1500cc ke bawah dan motosikal 125cc ke bawah.

Tambah beliau lagi, pelaksanaan subsidi itu membabitkan peruntukan sebanyak RM2 bilion dan ia dijangkan akan mula dilaksanakan pada suku kedua tahun hadapan.

Baiklah. Sudah tentu kita sebagai pengguna akan rasa betapa tidak adilnya mengkelaskan subsidi berdasarkan kapasiti enjin. Jika ia jadi sandaran, kereta “rakyat” seperti Proton (Baru), tidak langsung termasuk dalam kelas ini. Kecuali Proton Saga.

Apa yang lebih mendukacitakan, kereta-kereta mewah seperti Volkswagen 1.4, Audi A4 1.4, Mercedes C Class 1.5, BMW i8, Mini Cooper, Honda CIvic, CR-v 1.5T dan banyak lagi kereta-kereta moden memang menggunakan enjin kecil. Ia adalah kereta mewah dan saya tak fikir mereka peduli pun pasal subsidi dan mereka pun entah-entah tak pakai pun RON95.

Adakah ini subsidi begini akan jadi tersasar?

Melihat pada teori asas berdasarkan pengumuman pendek dari Menteri Kewangan tersebut, jawapannya jelas. Ya.

Namun ia masih di peringkat dasar dan perincian belum lagi dimuktamadkan. Melainkan ada penyenaraian berdasarkan jenis dan kenderaan, maka ketika itu barulah kita tahu samada subsidi ini sampai atau tidak ke golongan sasaran.

Sebenarnya tiada negara di dunia yang pernah menggunakan sistem begini. Ia susah untuk dilaksanakan kerana petrol adalah keperluan harian. Membuat satu sistem yang betul adalah satu perkara sementara untuk memastikannya perlaksanaannya berkesan adalah perkara yang berbeza.

Untuk pengetahuan anda. sistem ini pernah dikaji oleh kerajaan Barisan Nasional dulu. Jika anda masih ingat sebelum gred RON95 dan RON97 diperkenalkan berdasarkan apungan, harga petrol kita adalah disubsidi sepenuhnya dan menyebabkan kerajaan kehilangan berbillion Ringgit setahun.

Satu sistem dengan menggunakan modul transaksi berdasarkan Mykad pernah dicadangkan. Ia hampir-hampir dilaksanakan dengan menggunakan mesin mudah alih yang akan digunakan oleh operator stesen minyak.

Kajian mendalam telah dibuat dan mekaniksme ini dilihat paling baik untuk aplikasi subsidi agar ketirisan dalam diminimumkan. Namun pada saat-saat akhir, ia dibatalkan atas sebab yang tidak diketahui kenapa.

Ia kemudiannya digantikan dengan sistem apungan harga, subsidi kepada golongan nelayan menerusi LKIM dan juga halangan kepada kereta berpendaftaran luar negara mengisi petrol gred RON95.

Jadi, sebenarnya subsidi ni boleh dibuat atau tidak?

Boleh, tapi ia tetap perkara yang sukar kerana bahanapi petrol adalah keperluan harian rakyat. Ia seperti mengawal jualan gula, garam dan  minyak masak. Ia tetap akan bocor di sana sini.

Begitupun, kami ada cadangan yang mungkin boleh diperhalusi dan walaupun masih bukan yang sempurna;

MENETAPKAN SUBSIDI BERDASARKAN HARGA KERETA

Subsidi boleh dibuat berdasarkan harga jualan kereta dan bukannya kapasiti enjin.

Misalnya, menetapkan harga siling jualan kereta pada RM60,000. Jadi mana-mana kereta yang dijual pada harga di bawah RM60,000 akan mendapat sejumlah tertentu petrol yang boleh mereka beli.

Ia boleh dibuat menerusi sistem kupon, atau rebat atau kad khas seperti Mesra (petronas), Petron Miles (Petron) atau kad isian seperti Shell yang dikreditkan terlebih dahulu, atau direbatkan kemudian mengikut bulan.

Sistem ini biasa digunakan oleh syarikat yang memberi elaun petrol kepada pekerja mereka untuk menetapkan jumlah petrol yang mereka gunakan dalam sebulan.

Macamana dengan kereta terpakai?

Syarikat insurans kenderaan di Malaysia mempunyai harga pasaran bagi setiap model kereta. Data-data ini mungkin boleh dikongsi bersama untuk memastikan hanya kereta yang layak, boleh mendapat subsidi.

Harganya mungkin perlu lebih rendah dari sebuah kereta baru yang mendapat subsidi secara automatik. Jika kereta baru ialah RM60,000, kereta terpakai mungkin RM30,000 atau RM40,000?

Misalnya, anda boleh dapat subsidi RON95 jika membeli Golf 1.4 TSi tapi bukan untuk model baru. Atau, Honda Accord, Proton Perdana terpakai yang layak mendapat subsidi setelah harga pasarannya berada pada kelas yang layak.

Logiknya, kalau yang beli Honda Accord masa dia berharga RM150K, takkan nak bagi subsidi juga kot?

MENGGUNAKAN MYKAD

Pun boleh digunakan. Golongan sasaran perlu menggunakan mykad setiapkali hendak mengisi petrol. Namun, ia melibatkan integrasi sistem yang sudah tentu memakan belanja besar bagi setiap stesen minyak.

DATA DARI LHDN

Data dari Lembaga Hasil Dalam Negeri boleh digunakan untuk menyelaraskan jumlah pendapatan seseorang bagi melayakkan mereka menerima subsidi yang disebutkan. Data-data ini lah yang akan menentukan Mykad siapa yang layak menerima subsidi.

KAD PELAJAR

LHDN juga boleh menjadi badan induk menyelaras, bukan sahaja Mykad tetapi juga kad pelajar yang diintegrasikan bersama.

Ia sistem yang kompleks yang melibatkan banyak isu kecil seperti kelayakan bergelar pelajar, tempoh kesahihan dan yang pastinya, membangunkan pangkalan data bagi sistem ini melibatkan kos lagi.

Kerajaan perlu keluar duit lagi.

MOTOSIKAL

Berbeza dengan kereta, penetapan subsidi berdasarkan kapasiti enjin motosikal mungkin lebih mudah. Tak pernah pulak dengar ada motor 125cc enjin rotary ke turbo ke.

Cuma masalahnya ialah perlaksanaan. Pandangan kami, mungkin boleh gunakan Mykad, kupon (Seperti yang dibuat pada baucar buku) atau menggunakan semula data dari LHDN dan dintegrasi dengan Mykad.

Google ads
Back to top button