Modifikasi

BERFIKIR DI LUAR KOTAK – PROJEK MIVEC SATRIA GTi

Ura-ura tentang projek Satria Ilyas ni, saya dah dengar sejak awal tahun dulu. Masa tu tak siap abis lagi. Sebab sibuk dengan hal itu dan ini, perkembangannya hampir dilupakan sehingga berjaya dikesan semula sewaktu acara Satria Day tempohari.

Projek yang dimaksudkan melibatkan bahagian jantungnya. Dari enjin SOHC 1.6, ia telah digantikan dengan enjin 4G93 Satria GTI. Mula-mula macam okey. Tapi lepas bertahun makan asap ketika berkanjo, timbul pulak idea untuk memiveckan enjin ini dengan kaedah yang lain dari kebiasaan.

BACA: SATRIA ENJIN MIVEC WIRETUCK!

Tingkat taraf ini memerlukan Ilyas mendapatkan kepala silinder dan harness dari enjin 4G92 MIVEC CA. Benda tak banyak, harga pun meninggal. Atas racunan pomennya Maddiah, Ilyas cuba mendapatkan komponen dari enjin 4G92 MIVEC CK sebagai ganti.

Walaupun berkedudukan terbalik, kepala silinder ini sebenarnya masih boleh digunakan. Itu pun kalau pomen kau sama gila macam Maddiah. Beberapa perubahan penting seperti lubang skru, lubang air, kedudukan injap dan kadar mampatan perlu diambil kira, sebelum boleh duduk dengan selasa di atas blok enjin ini.

BACA: SATRIA BIRU BUAT ABANG KELIRU…

Tak cukup dengan tu, beberapa perubahan lain perlu dibuat sama, seperti proses port & polish, serta penggunaan piston mampatan tinggi. Alang-alang dah bikin, keseluruhan wayar tadi dan sistem penyejuk telah disorok atau diubah haluannya untuk tujuan kemasan.

Suapan udara datang dari penapis udara Simota, terus ke unit throttle body Super90 yang melekat pada manifold kemasukan kustom. Bagi membentuk campuran yang sempurna, bekalan bahan api dihantar menerusi pam petrol Deatschwerks DW200.

BACA: NEO R3 CPS DARI AUSTRALIA

Ia kemudian ditembak oleh set injektor 275cc, yang disangkut pada rel bahan api Sard. Kuasa cucuhan menggunakan kit COP dari enjin K20A. Manakala proses pemetaan enjin, kini diuruskan oleh unit piggyback AVS FIC yang diubahsuai.

Sistem pacuan masih menggunakan kotak gear Satria GTI, yang dilapik set klac Exedy Racing. Binaan sistem ekzos pun menarik juga. Disebabkan kedudukan kepala silindernya yang terbalik, unit ekstraktor perlu dibina secara kustom menghadap dinding.

Mujur ada ruang, siap boleh seluk tangan lagi. Walaupun masih mengekalkan muffler bantal Satria GTI di bahagian belakang, ia turut dilengkapi injap pengawal ekzos ECV yang mampu mengaktifkan ekzos perangnya menggunakan alat kawalan jauh. Baru tak kena jinjit telinga kalau balik kul 3 pagi…

BACA: MIRAGE CYBORG R – KEMBAR PROTON SATRIA

Yang jelas, rupa luaran mungkin nampak sama macam Satria kebanyakan. Cat pun kusam-masam. Namun keputusan untuk menggunakan kit badan lengkap Satria GTI, berjaya menyelamatkan keadaan. Senarai komponen tambahan lain termasuklah lip depan R3, cermin sisi CF serta sebuah spoiler GT dari Voltex.

Kereta ini mendapat profil yang rendah, hasil penggunaan set suspensi boleh laras dari Tein. Rim 15-inci Enkei RP01 dengan tayar Toyo Proxes tu pun main peranan jugak. Sementara proses hentian pulak, dibantu komponen brek EVO untuk depan serta GTI di ruang belakang.

Dalamnya juga dibuat biar nampak lain macam. Ada DNA rasing tentunya. Abis segala karpet dibuang, meninggalkan dasar lantai berwarna biru, selain penggunaan plet chequered aluminium di bahagian tertentu. Tempat duduk belakang disisih terus, manakala depan menerima Recaro SPG dan EVO II. Penempatan X-bar kustom, membantu memenuhkan ruang belakang yang semakin kosong.

Pada dashboard GTI yang digunakan, terdapat unit stereng dari Nardi. Radio dan speaker takde langsung dan digantikan dengan panel khas untuk suis-suis penting. Bagi tujuan pemantauan, terdapat 3 bijik meter NRG serta tambahan 3 lagi meter GReddy pada pilar A.

Tak tau pasai apa kereta ni tak tercalon dalam kategori The Best Engine masa Satria Day dulu. Terlepas pandang ke tak tahu? Emmm…

Spesifikasi

Pemilik                        Mohd Ilyas

Pengeluar                    Proton

Model                          Satria 1.6

Tahun                          1996

Enjin asal                    4G92P

Modifikasi Enjin         4G93 Satria GTI, kepala silinder & harness 4G92 MIVEC CK, port & polish, piston mampatan tinggi, cam pulley  Works Engineering, radiator aloi kustom, penapis udara Simota, throttle body Super90, manifold kemasukan kustom, pam etrol Deatschwerks DW200, injektor 275cc, rel bahan api Sard, regulator Works Engineering, kit COP K20A, piggyback AVS FIC kustom

Transmisi                    Kotak gear Satria GTI, klac Exedy Racing

Ekzos                          Ekstraktor 4-2-1 kustom, paip kustom 2.5-inci, injap pengawal ekzos ECV, muffler Satria GTI

Luaran                         Kit badan lengkap Satria GTI, lip depan R3, cermin sisi CF, spoiler GT Voltex

Suspensi                      Tein

Brek                            EVO (depan), Satria GTI (belakang)

Rim & Tayar               Enkei RP01 15-inci & Toyo Proxes 195/55R-15

Dalaman                      Dashboard GTI, stereng Nardi, plet chequered aluminium, tempat duduk Recaro SPG & EVO II, harness Sabelt, X-bar kustom, tombol gear RalliArt, meter NRG & GReddy

Bengkel                       Madmax Maddiah Latip

-PAK MAUN-

GALERI

 

 

Google ads
Back to top button