,
Buletin

SUBSIDI PETROL DITANGGUH (LAGI) HARGA PETROL JUGA KEKAL 1 JAN 2020

petronas, petrol, subsidi, tangguh, PSP,

Pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) mulai Januari ini ditangguhkan sehingga satu masa yang akan diumumkan kemudian, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Keputusan untuk menangguhkan program itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet pada 18 Disember lalu bagi memberi ruang terhadap penyelesaian dua perkara utama yang kini giat dilaksanakan kerajaan.

Antaranya merangkumi sesi penerangan dan penjelasan yang masih diteruskan kepada rakyat bagi memastikan kefahaman sewajarnya mengenai PSP berupaya diperoleh, sekali gus melancarkan mekanisme pelaksanaan program terbabit.

“(Penangguhan ini juga bagi memberi ruang terhadap) proses pendaftaran penerima daripada golongan isi rumah berpendapatan pertengahan 40 peratus (M40) yang akan dikendalikan Kementerian Kewangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kerajaan pada 7 Oktober lalu mengumumkan pelaksanaan PSP dengan peruntukan RM2.4 bilion dalam Belanjawan 2020 akan dilaksanakan berkuat kuasa bulan depan, selaras manifesto Pakatan Harapan.

Program subsidi bersasar bagi menangani ketirisan bekalan bahan api itu dijangka memberi manfaat kepada lapan juta penerima daripada kelompok B40 dan M40 yang ketika ini berdepan peningkatan kos sara hidup.

Sementara menunggu pengumuman pengesahan pelaksanaan PSP, Saifuddin berkata, rakyat akan terus menikmati harga petrol berdasarkan sistem sedia ada.

KREDIT: BERITA HARIAN

Google ads
Back to top button