,
Buletin

NISSAN ARAHKAN PEGAWAI UNTUK JIMATKAN SETIAP YEN

Nissan Motor Co. dilapor telah mengarahkan semua pengurusnya untuk memotong semua perbelanjaan yang tidak penting. Langkah terbaru itu diambil oleh Nissan ketika jualan kenderaan dan keuntungannya dilihat semakin merudum. 

Inisiatif itu perlu dilaksanakan sepanjang tahun kewangan yang berakhir pada Mac depan dan dilihat mungkin berlanjutan sehingga tahun perniagaan akan datang.

Para pengurus diminta menghentikan perjalanan yang tidak perlu, tiada lagi insentif jualan dan acara promosi demi ‘menjimatkan setiap yen yang boleh’. 

Mesyuarat yang perlu dihadiri oleh tiga atau empat orang hanya akan menghantar seorang wakil daripada Nissan sahaja. Sementara majlis perjumpaan dan makan malam telah dibatalkan atau digantikan dengan persidangan video. 

Pemotongan belanja itu dilihat selari dengan keputusan Nissan pada tahun ini untuk memberikan cuti selama dua hari kepada semua pekerja Nissan di Amerika Syarikat. 

Nissan sebenarnya tidak mengalami sebarang masalah aliran tunai. Sumber memberitahu Nissan masih mempunyai banyak wang tunai dan kredit termasuklah keuntungan yang dijana selama bertahun-tahun di pasaran China bersama rakan kongsi. 

Tetapi perkembangan terbaharu itu jelas menggambarkan krisis yang kian meruncing di Nissan, bermula daripada penahanan bekas ketuanya, Carlos Ghosn. Diikuti oleh tindakan meletak jawatan beberapa eksekutif kanan, seloin hubungan yang semakin tegang dengan rakan pakatannya, Renault SA. 

Pada April lalu, Nissan mengumumkan pelan untuk merancakkan kembali jualan dan meningkatkan keuntungan.

Namun, ramalan keseluruhan nampaknya langsung tidak memihak kepada pengeluar dari Jepun itu. Buktinya, pada November, Nissan melaporkan keuntungan operasinya merosot sebanyak 70 peratus. 

Tags
Google ads
Back to top button