
SUSUR KELUAR LEBUH RAYA KOTA-BHARU-KUALA KRAI BERBAHAYA. PERLU TINDAKAN SEGERA
Pengguna jalan raya di Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai dari Pasir Hor ke Ketereh di sini berdepan bahaya kemalangan di susur keluar ke Ketereh.
Lokasi itu dikatakan berisiko menyebabkan kemalangan atau insiden membawa maut kerana pengguna jalan raya perlu menukar laluan dari lorong kanan ke kiri jalan tersebut dalam jarak dekat. Selain menggelak daripada merempuh tembok konkrit penutup jalan ke arah laluan menuju ke Kuala Krai dan Gua Musang yang belum siap.
Seorang pemandu e-hailing, Aedy Alias Mat Rusok, 38, berkata, dia menggunakan laluan itu pada setiap hari sejak tahun 2019 dari tempat tinggalnya di Kok Lanas untuk mengambil dan menghantar penumpang ke pelbagai destinasi.
Menurut Aedy Alias, laluan di lokasi tersebut agak bahaya walaupun menggunakannya pada waktu siang serta lebih berbahaya pada waktu malam kerana keadaaanya gelap dan ketika hujan.
“Pengguna yang biasa menggunakan laluan ini tetap akan terkejut apabila tiba berdekatan tembok konkrit tersebut untuk menukar lorong ke kiri jalan. Pengguna juga berisiko tinggi tersasar merempuh tembok diletakkan di lorong kanan jalan itu,” katanya.
Kata bekas pekerja pentadbiran lebuh raya di Sungai Buloh itu, lokasi tersebut perlu diletakkan tanda amaran lebih banyak disertai lampu keselamatan berkelip bagi memastikan orang awam waspada apabila sampai ke lokasi tersebut untuk bertukar lorong.
“Selain itu, papan tanda menuju ke Kuala Krai dan Gua Musang di lebuh raya itu juga menggelirukan pengguna kerana tidak ditutup. Sedangkan jalan ke dua daerah itu belum siap iaitu di lokasi yang ditutup dengan tembok konkrit tersebut,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Azizah Musa, 61, berkata, dia pernah hampir merempuh tembok konkrit berkenaan ketika menaiki kereta dipandu suaminya, Husin Yusof, 68, untuk pulang ke rumah mereka yang terletak bersebelahan lebuh raya berkenaaan pada Sabtu. – Sinar Harian



