
PEKERJAAN IDAMAN SETIAP LELAKI, JADI PEMANDU UJIAN BUGATTI
Jika anda rasa anda tertekan dengan kerja hakiki harian anda, anda boleh cuba memohon untuk menjadi pemandu ujian Bugatti seperti Steve Jenny. Sebagai pemandu ujian, tugas Steve ialah memeriksa semua supercar Bugatti sebelum ia dihantar kepada pelanggan yang telah membuat tempahan beberapa bulan sebelum tarikh ia dihantar.
Steve diterima masuk sebagai pemandu ujian Bugatti mulai tahun 2004 dan semenjak itu dia telah memandu hampir 90% kenderaan Bugatti yang dijual. Antara model yang dipandu uji oleh Steve termasuklah Veyron, Chiron dan Divo dengan jarak pemanduan terkumpul 350,000km
Steve lahir dan dibesarkan di Alsace, Peranchis memulakan kerjaya dalam permotoran sebagai pemandu rali dan juga jurupandu arah sebelum ditugaskan sebagai pemeriksa kualiti di syarikat pembekal OEM seperti Mahle dan BBS. Tertarik dengan fasiliti ujian Bugatti, Steve telah menghantar permohonan dan diterima masuk pada tahun 2004 sebagai pemandu ujia Bugatti
Semua supercar Bugatti yang akan dihantar akan dibelasah habis-habisan oleh Steve selama 5 jam yang merangkumi ujian jalan raya, ujian halangan slalom, ujian pecutan dan halaju maksimum di landasan kapal terbang dan juga ujian di litar lumba bagi memastikan semua sistem beroperasi dengan sempurna

Menurut Steve, semua kereta yang diuji adalah berbeza antara satu sama lain mengikut pasaran yang akan dihantar dan dipasang menurut peraturan jalan raya di pasaran tersebut. Ujian ini akan melalui jarak sekitar 300km di atas jalan raya berturap dengan Steve akan memeriksa tetapan pedal minyak, respon enjin dan brek, rasa yang dihasilkan oleh stering dan mendengar mana-mana bunyi yang pelik luar biasa
Malah Bugatti ini juga akan melalui halangan jalan raya seperti lubang, cobblestone dan bonggol bagi menilai prestasi sistem suspensi. Dalam ujian halaju tinggi, Bugatti telah menggunakan landasan kapal terbang yang sudah tidak beroperasi dimana supercar Bugatti akan dipandu pada halaju sehingga 300km/jam.
Steve juga bertanggung jawab menguji sistem launch control, brek udara, sistem kestabilan elektronik, ujian stering dan kestabilan dimana supercar Bugatti akan menukar lorong secara mengejut dan terus membrek kecemasan pada halaju 200km/jam.
Setelah selesai dan lulus, barulah supercar tadi akan dihantar semula ke Molsheim dimana mekanik akan menukar semula minyak enjin yang baru, minyak transmisi, tayar baru dan memasang semua aksesori perlindungan di bahagian bawah cesi. Ia kemudian akan diuji lagi dengan pemanduan biasa selama sejam sebelum dibenarkan untuk dihantar pada pelanggan