Buletin

SUV PHEV DENGAN GAYA DEFENDER – APA YANG TAK KENA DENGAN TAI 7?

Bukan mudah jadi pereka kereta, apatah lagi bila hasil kerja anda dibandingkan dengan jenama besar dari Eropah dan Jepun.

Itulah cabaran dihadapi oleh pasukan reka bentuk Fang Cheng Bao, sub-jenama mewah di bawah BYD, yang baru-baru ini memperkenalkan model terbaharu mereka, Tai 7.

Didedahkan melalui laman rasmi Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China, SUV ini terus menarik perhatian kerana bentuknya yang menggabungkan beberapa elemen daripada model ikonik lain.

Sekali pandang, wajah depannya mengingatkan kita kepada Land Rover Defender – dari bentuk gril hinggalah ke bahagian lampu, walaupun rekaan pencahayaan diubah kepada unit berbelah.

Namun, Tai 7 bukan sekadar meniru bulat-bulat. Bahagian sisi menampilkan lekuk badan yang agresif, fender lebar dan bentuk tingkap yang mengingatkan kepada Lexus GX generasi baharu. Menariknya, elemen ‘panel sisi’ yang pernah mengundang perdebatan dalam rekaan Defender juga kelihatan di sini tetapi lebih kecil dan kurang menonjol.

Di belakang, gaya terus kekal ‘off-road premium’ dengan bampar berwarna perak kontras serta pembawa tayar belakang segi empat, mirip dengan yang digunakan pada Mercedes-Benz G-Class versi elektrik.

Dari segi dimensi, ia berukuran 4,999mm panjang, 1,995mm lebar dan 1,865mm tinggi, dengan jarak roda sejauh 2,920 mm. Ini menjadikannya lebih panjang daripada Defender 110, tetapi lebih pendek sedikit daripada Defender 130.

Di sebalik gaya yang ‘familiar’, Fang Cheng Bao Tai 7 hadir dengan nadi plug-in hybrid. Ia digerakkan oleh enjin 1.5 liter berkuasa 156PS, digandingkan bersama motor elektrik 272PS, serta bateri LFP (lithium iron phosphate). Gabungan ini membolehkan SUV seberat 2,230kg ini mencapai kelajuan maksimum 190km/j.

Tai 7 dijangka dilancarkan di pasaran China pada penghujung tahun ini, dengan jangkaan harga permulaan sekitar 300,000 yuan (anggaran RM195,000). Pilihan rim 18 dan 19-inci turut disediakan, melengkapkan pakej SUV bergaya, berkuasa dan lebih mesra alam ini.

Kalau Defender terlalu mahal dan G-Class sekadar mimpi, mungkin inilah alternatif yang anda cari.

Google ads
Back to top button