
SUV YANG SEJUK (COOL) YANG BOLEH DIBELI DI SINGAPURA
Baiklah, artikel ini merupakan kesinambungan daripada artikel yang lepas lepas BK tulis perihal kereta / kenderaan yang cool yang boleh dibeli di negara jiran Singapura. Kal ini BK bawakan tentang SUV pula. Cerita banyak takmau, jom kita baca tentang SUV yang cool terdapat di sana.
Nissan Qashqai
Model SUV kompak global ini ibaratnya jelmaan sebuah model Nissan Xtrail. Jelas sekali, ianya adalah jawapan kepada peminat jenama Nissan yang inginkan sebuah model SUV kompak sebagai kenderaan gaya hidup masa kini. Dan ini adalah Nissan Qashqai generasi kedua dengan menggunapakai kod J11. Untuk pasaran Singapura, ianya menggunakan trenkuasa 1.2 DIG-T lengkap dengan pendesak turbo. Bolehlah setakat nak mendapatkan kuasa 114 HP dan juga 165 Nm.
Mungkin atas kertas kelihatan kurang berkuasa. Tapi memandangkan situasi jalanraya di Singapura, sudah pasti kuasa yang sederhana sebegini cukup ideal. Kotak gear auto 7 kelajuan XTronic CVT itu pun tak sempat habis nak tukar. Tahu tahu saja dah sampai ke hujung bumi Singapura, iya tak?

SsangyongTivoli
Pembuat dari Korea Selatan ini turut juga mahu mencuba nasib dalam pasaran SUV di Singapura melalui pengedar rasmi mereka, Motorway Ssangyong Pte Ltd. Walaupun rekaan Ssangyong Tivoli ini kelihatan tidaklah beberapa begitu menarik, namun kelebihannya terletak kepada trenkuasa yang dibekalkan kepada SUV ini.
Ssangyong Tivoli ini menggunakan enjin 1.6 liter Diesel. Dan sudah tentulah penjimatan bahan apinya menjadi faktor utama pemilikannya barangkali. Dan paling utama, Ssangyong Tivoli ini mempunyai daya kilas yang cukup bertenaga, 334 Nm. Cukup tangkas untuk melepaskan diri daripada kesesakan lalu lintas di Singapura waktu pulang dari pejabat petang hari.

Mitsubishi Eclipse Cross
Ini merupakan antara SUV kompak yang sedap mata memandang. Apatah lagi ianya menggunakan logo Mitsubishi, sebuah jenama lagenda rali. Tapi yang ini adalah merupakan sebuah SUV / Crossover yang mempunyai rekaan yang cukup menarik. Tapi sayangnya ianya tidak dibawa masuk ke tempat kita, membiarkan ASX sahaja sebagai wakil dalam segmen ini.
Selain daripada mempunyai rekaan yang lawa, enjin yang dibekalkan juga boleh tahan. Menggunakan enjin 1.5 MIVEC turbo. Enjin ini berupaya membekalkan kuasa maksimum 161 HP dan juga 250 Nm yang disalurkan melalui kotak gear 8 kelajuan auto INVECS III CVT.

Renault Kadjar
Dah bosan dengan pilihan SUV dari Asia, maka Renault Kadjar ini juga tidak kurang hebatnya juga. Sebuah SUV dari Perancis. Sudah tentulah pertaruhan utamanya adalah rekaan SUV dengan gaya Eropah yang lebih nyata. Yang pasti, Renault Kadjar ini bukanlah sembarangan SUV, apabila ianya berjaya memperolehi 5 Bintang EURO NCAP. Sudah tentu ianya menjadi perkara penting untuk menjualnya kepada bakal pembeli.
Menggunakan enjin 1.5 Diesel Turbo, ianya memberikan kuasa sekitar 110 HP dan juga 250 Nm. Kira oklah juga. Yang penting, guna diesel jimatlah sikit pengunaan bahan bakar tu untuk sebuah Renault Kadjar ini yang diposisikan di tengah di antara model Captur dan juga Koleos. Oh ya, suka untuk BK berkongsi bahawa Renault Kadjar ini sebetulnya turut berkongsi platform yang sama dengan Nissan Qashqai, Common Module Family (CMF).
Kredit Foto : www.sgcarmart.com
BACA : WAGON YANG SEJUK (COOL) BOLEH DIBELI DI SINGAPURA
BACA : HATCHBACK YANG SEJUK (COOL) YANG BOLEH DIBELI DI SINGAPURA