
SUZUKI ALTO LAPIN LC – KEI CAR COMEL & KLASIK!
Disebabkan oleh kekangan peraturan, pengeluar Jepun perlu lebih kreatif dalam menawarkan model-model kei-car yang mampu menarik perhatian, terutama untuk pasaran Jepun.
Salah satu daripadanya adalah Suzuki Alto Lapin LC yang membawakan penampilan serba retro dan dalam masa yang sama tidak mengenepikan aspek keselesaan dan ciri-ciri moden.

Menurut Suzuki, Alto Lapin LC ini membawakan penghormatan kepada model Suzuki Fronte 360 yang muncul lewat era 60-an, dengan rupa paras yang agak comel.
Untuk menambahkan lagi perisa retro, Suzuki hanya menawarkan warna-warna yang ‘klasik’ seperti pastel pink, hijau cair, biru, perang dan juga beige. Terdapat juga pilihan warna dua tona disediakan.
Tema retro pada kerta ini dimulakan dengan bentuk lampu utama yang bulat, diikuti rekaan jeriji hadapan dengan elemen krom, hud jenis clamshell, diikuti dengan rim retro berwarna putih.
Sementara bahagian belakang pula membawakan penampilan yang sama seperti model Alto Lapin standard, kecuali lencana berbentuk sayap di bahagian tengah pintu belakang.

Ruang kabin pula menyerlahkan lagi tema retro yang cuba dibawakan pada Alto Lapin LC ini, di mana tempat duduk dibaluti dengan gandingan fabrik dan kulit perang, sementara roda stereng, panel pintu, seksyen bawah papan pemuka dan headliner pula didatangkan warna beige.
Pembeli juga boleh mendapatkan opsyen kemasan kayu atau dark gray pearl pada bahagian papan pemuka.
Dari segi kelengkapan, Alto Lapin LC dimuatkan dengan tempat duduk beserta ciri pemanas, kawalan iklim automatik, roda stereng dengan butang fungsi, butang pandu mula, skrin infotainmen tujuh inci, serta animasi bermotifkan arnab (Lapin dalam bahasa Perancis).
Di bawah kelas kei-car, Suzuki Alto Lapin LC dikuasakan oleh enjin tiga silinder sebaris 660 cc yang mampu menjana kuasa maksimum 63 hp, padanan transmisi CVT, serta pacuan roda depan atau sistem pacuan semua roda sebagai opsyen.

Harga jualan Suzuki Alto Lapin LC bermula dari 1,409,100 yen (RM46,019).