Buletin

TOYOTA FX-1, KERETA SUPER CANGGIH PADA TAHUN 1983

Toyota Motor Corporation (TMC) adalah syarikat yang hebat. Tahun lalu, TMC berada di tempat kedua dari segi jualan global di belakang Kumpulan Volkswagen.

Mungkin ada yang kata Toyota menghasilkan kereta membosankan dan merujuk kepada beberapa model laku keras. Hakikatnya Toyota satu ketika dahulu menghasilkan kereta pemandu hebat seperti Starlet, Levin, Celica, MR-2 dan semestinya Supra.

Toyota sekarang ini telah kembali kepada asas yang membuatkan jenamanya disanjung ramai. Buktinya ialah pada FT-86, Camry dan Corolla baharu serta Supra yang bakal dilancarkan tahun depan.

Dalam mengimbas sejarah kehebatan Toyota, model konsep FX-1 ini kelihatan begitu futuristik.

Model ini dan 50 buah kenderaan lain dipertontonkan kepada awam semasa Pameran Kenderaan Tokyo ke-25 yang diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Harumi dari 28 Oktober hingga 8 November 1983.

Pada pameran tersebut Toyota menggunakan tema New Technology, the Age of Toyota dengan 11 model khusus yang membayangkan kereta masa depan hasil dari penyelidikan dan pembangunan mendalam serta inovasi.

Salah satu daripada model yang mendahului zaman ialah FX-1. Bukan sahaja dipamerkan di TMS 1983 malah turut dibawa ke Pameran Kenderaan Geneva tahun berikutnya.

Kredit: oldconceptcars.com

Ciri-ciri unik ialah bumbung mendatar ke belakang dan bentuk keseluruhan yang aerodinamik. Memang betul membelah angin dengan baik apabila pekali seretan (Cd) hanyalah 0.25 – angka hebat untuk kereta zaman itu dan sekarang.

Kereta konsep ini tampil dengan garisan bersih dan harmoni manakala sudut tajam dibentuk agar mesra belahan angin.

Selain bentuk mendahului zaman, enjin yang digunakan juga hebat. Enjin yang dipadankan bersama transmisi empat kelajuan automatik ECT-S bersesaran 1,988 cc dengan teknologi suntikan EFI, Twin Cam 24 injap dan dua pendesak turbo serta intercooler.

Enjin ini menggunakan injap pemasaan yang dikawal oleh komputer dan bersama beberapa komponen lain mampu menghentikan separuh daripada enjin untuk penjimatan minyak.

Kredit: oldconceptcars.com

Walau bagaimana pun, sistem ini tidak pernah dikeluarkan kecuali versi ringkas atau dikenali sebagai enjin 1G-GTE dan dipasangkan pada Supra MK3, Chaser dan Soarer.

Toyota FX-1 juga hebat pada sistem suspensi. Pada masa itu, Toyota sudah mempamerkan teknologi hydropneumatic yang dikawal secara elektronik.

Sistem ini akan mengawal ketinggian kereta secara automatik berdasarkan beberapa faktor seperti berat kenderaan, kekuatan mendapan penyerap hentak dan kadar kekenyalan spring.

Sistem yang dikenali sebagai TEMS ini kemudiannya digunakan pada Soarer dan Crown varian paling premium.

Kredit: oldconceptcars.com

Bahagian dalam juga canggih, kereta konsep ini dipasangkan dengan paparan meter bergrafik yang menunjukkan maklumat seperti pemanduan, enjin dan pelbagai lagi melalui skrin berukuran enam inci.

Lebih canggih apabila ia turut dilengkapi sistem arahan suara, cakera audio digital (DAD) dan stereng teleskopik yang dikawal oleh komputer.

Bagaimana ia berfungsi? Apabila pemandu keluar atau masuk ke dalam kereta, stereng dan meter akan diangkat secara automatik dan kembali semula ke posisi asal untuk pemanduan seterusnya.

Canggih? Super duper mega canggih untuk kereta pada tahun 1983!

Kredit foto: oldconceptcars.com

BACA: TOYOTA COROLLA TOURING SPORTS – KELAHIRAN SEMULA CALDINA?

Google ads
Back to top button