Buletin

SUZUKI WHIZZKID, ENJIN BELAKANG PACU RODA BELAKANG!

Kereta bandar sama ada segmen A atau B sentiasa menjadi pilihan pembeli. Mudah, ringkas, harga berpatutan dan ekonomikal untuk dimiliki. Sejarah kereta bandar juga menarik untuk ditekuni.

Satu kereta bandar yang kini tersimpan di sebalik sejarah ialah Suzuki SC100GX atau di United Kingdom dikenali sebagai Whizzkid.

Nama asal kereta ini di Jepun ialah Cervo SS20 dan pertama kali diperkenalkan pada 1977 di Jepun dan di UK pada 1979.

Berapakah harga model ini? £2,400 pada 1981 dan permintaan sentiasa melebihi penawaran. Pada penghujung 1982 sebanyak 4,693 unit terjual di sana.

Ada nampak macam Whizzkid tak?

#Ada pelbagai jenis enjin untuk model ini iaitu 539cc tiga silinder dua lejang, 797cc dan untuk UK dikuasakan enjin 970cc empat silinder berkuasa 47hp dan tork 83Nm pada 2,500rpm.

Dari segi saiz, kereta dua pintu ini tidak besar iaitu 3,190mm panjang, 1,395mm lebar and 1,220mm tinggi dan berat pula hanya 655kg.

Di sebalik ciri tersebut, ada satu lagi yang istimewa atau paling istimewa iaitu enjinnya di belakang dan memacu roda belakang! Disebabkan itu terdapat corong pada bahagian belakang untuk membantu aliran udara.

Dari sukuan belakang ada pengaruh Whizzkid (Tiang C ada sirip macam aliran udara)

Whizzkid GX pasaran UK dilengkapi ciri standard seperti kerusi boleh rebah balutan kain, cermin belakang dengan pemanas, radio push button dan stereng rack and pinion.

Ada lagi ciri menarik di mana keempat-empat sudut kereta menggunakan suspensi bebas yang masih asing pada masa itu. Rekaan suspensi tersebut telah digunakan Suzuki seawal tahun 1955 melalui model Suzulight.

Kelajuan maksimum ialah 140 km/j manakala pecutan dari 0 hingga 100 km/j memerlukan 16.5 saat.

Whizzkid yang dipaparkan di dalam artikel ini dan sangat cantik sebenarnya milik Suzuki GB dan satu daripada unit terakhir didaftarkan di sana.

SC100GX tahun 1982 itu dibawa ke satu acara SMMT (Persatuan Pengeluar dan Pedagang Kenderaan) di UK pada bulan Mei 2010.

Unit tersebut telah dibaik pulih enam tahun sebelumnya mengikut spesifikasi asal. Sewaktu artikel asal ini ditulis, Suzuki memaklumkan hanya 130 buah diketahui masih digunakan di jalanan UK.

Mengikut maklumat Wikipedia pula, setakat pertengahan 2014 sebanyak 96 Whizzkid berdaftar dengan Agensi Pemandu dan Perlesenan Kenderaan (DVLA) UK.

Cervo generasi pertama ini berada di pasaran Eropah dari 1979 hingga 1982.

Cervo SS40 atau generasi kedua kemudian diperkenalkan pada Jun 1982 dan kali ini bentangan enjin ditukar kepada bahagian depan dan memacu roda depan.

Generasi pengganti diperkenalkan pada tahun-tahun berikutnya sehingga model terakhir iaitu Cervo HG21S (generasi kelima) pada November 2006.

Bentuknya langsung berubah sesuai dengan peredaran zaman dan menariknya memenangi Japanese Good Design Award 2007.

Pernah jumpa Whizzkid di negara kita? Penulis belum pernah!

Kredit bahan: Suzuki, Wikipedia. Kredit foto: Suzuki

Google ads
Back to top button