BuletinModifikasi

PAKEJ TALAAN ENJIN SKYACTIV-G MAZDA MX-5 DARIPADA BBR (202BHP & 221 BHP)

Mazda tampil dengan inovasi menarik melalui teknologi enjin Skyactiv. Inovasi yang diambil ialah meneliti semula enjin pembakaran dalaman dan merombak apa yang boleh ditambah baik.

Hasilnya menjadi dan membuatkan Mazda disegani ramai di dalam era di mana rata-rata pengeluar menumpukan pada usaha pengecilan sesaran enjin dan penggunaan pengecas turbo.

Namun dari sudut lain berapa ramai pula yang berani menyahut cabaran untuk menala semula enjin Skyactiv?

BBR (Brodie Brittain Racing) berani dan tidak menghairankan kerana penala ini sudah tiga dekad bergelumang dengan enjin buatan Mazda.

Projek terbaru dan siap untuk dibeli bukan satu tetapi dua pakej penalaan enjin untuk Mazda MX-5/Miata 2019 dengan dua kuasa berbeza.

BBR membangunkan pakej ini secara ekstensif selepas menghabiskan berbulan masa di atas mesin dyno dan juga pembangunan di jalan raya dan litar lumba.

Hasilnya ialah dua pakej berlainan kuasa iaitu BBR 2019 Mazda MX-5 Super 200 dan BBR 2019 Mazda MX-5 Super 220.

BBR 2019 Mazda MX-5 Super 200:

BBR memberi fokus kepada penambahbaikan pada pengambilan udara enjin 2.0 liter Skyactiv-G melalui penggunaan kit berikut:

  • Manifold ekzos besi tahan karat BBR 4-1 high flow
  • Sistem pengambilan udara sejukan BBR
  • Penapis udara BBR K&N high flow
  • Pemetaan ECU BBR Custom StarChip (termasuk pengaturcaraan /perkakasan dan perisian untuk pelanggan yang memasang sendiri)

Penambahan kuasa:

  • Penambahan 18 bhp kepada 202 bhp pada 7,300 rpm dan 223.7 Nm daripada 210 Nm dengan 900 rpm lebih rendah berbanding tetapan asal

Harga pakej bermula daripada £1245.00 (RM6,584) hingga £1445.00 (RM7,642).

BBR 2019 Mazda MX-5 Super 220:

Pakej ini lebih berkuasa melalui penggunaan komponen mekanikal seperti aci sesondol prestasi tinggi, spring injap dan retainer.

Penambahan kuasa dapat dirasai daripada rpm 4,750 hingga rpm 7,800 dengan output puncak 221 bhp iaitu peningkatan 36 bhp berbanding enjin asal.

Serakan daya kilas lebih 217 Nm pula dirasai daripada rpm 3,500 hingga rpm 7,500. Penghantaran daya kilas puncak juga bermula lebih rendah iaitu 500 rpm daripada asal.

Harga permulaan untuk pakej ini ialah daripada £2235.00 (RM11,821) hingga £2895.00 (RM15,311).

Pakej tambahan BBR:

Selain pakej di atas, BBR turut menawarkan naik taraf tambahan iaitu bahagian tengah ekzos berukuran 2.5 inci dan peredam bunyi yang juga memberikan pertambahan kuasa.

Pengguna yang mahu mendapatkan manifold 4-1 turut ditawarkan dengan versi catalytic converter berprestasi untuk keprihatinan mesra alam.

Ujian dyno dan kuasa dibuat menggunakan minyak petrol oktana 99. Hasil daripada prosedur ini ialah output kuasa 185 bhp yang dijadikan angka asas untuk BBR membuat penalaan.

Pakej talaan BBR ini juga bebas untuk dipesan oleh pelanggan antarabangsa termasuk Malaysia.

Google ads
Back to top button