
TEMPOH MENUNGGU ARUZ KINI 1 BULAN SAHAJA
Perodua dikatakan telah berjaya mengurangkan masa menunggu bagi Aruz antara 1 bulan dan 1.5 bulan bergantung kepada model, berbanding kira-kira antara 2 hingga 2.5 bulan sebelum ini berikutan peningkatan dari segi pengeluaran.
Dengan peningkatan pengeluaran itu, Perodua menganggarkan jualan Januari hingga Julai mampu mencapai 140,900 unit untuk semua model, setanding dengan 140,900 unit dalam tempoh sama tahun lalu. Bermula Januari hingga Julai tahun ini, 17,989 unit Aruz berjaya dijual.

“Jika dibandingkan bulan Jun, Julai dan Ogos tahun lalu, ‘cuti cukai’ diumumkan oleh kerajaan kerana keputusan penghapusan Cukai Barang dan Perkhidmatan atau GST.
“Meskipun begitu, kami sangat beruntung kerana prestasi kami jauh lebih baik jika dibandingkan dengan kesan semasa ‘cuti cukai’ tersebut,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.
Zainal memberitahu Perodua dapat memperbaiki proses pengeluaran Aruz, sekali gus membolehkan penghantaran SUV itu bertambah baik.
Perodua akan mengekalkan sasaran jualannya sebanyak 235,000 unit menjelang akhir tahun ini, peningkatan sebanyak 3.4% daripada 227,234 unit yang dijual pada 2018.

Pada 17 Julai, Perodua mengumumkan bahawa ia akan meningkatkan sasaran jualannya kepada 235,000 unit untuk 2019, naik 4,000 daripada sasarannya 231,000 yang diumumkan pada Januari lalu. Peningkatan sasaran jualan ini adalah untuk memenuhi permintaan yang tinggi untuk semua model semasanya.
Jumlah sasaran pengeluaran untuk 2019 telah ditingkatkan kepada 249,000 unit, penambahan 2.9% daripada sasaran sebelumnya iaitu sebanyak 242,000 unit.
Kedua-dua loji pembuatan beroperasi pada kapasiti 97%, yang mana Perodua mencatat stabil operasi pada tahap optimum; ini meningkat daripada angka tahun lepas sebanyak 96.2% bagi PMSB dan 94.6% bagi PGMSB, sementara kecacatan per unit (DPU) di kedua-dua loji telah mencatatkan penurunan yang stabil.