Pandu Uji

PANDU UJI :MAZDA CX9 LEBIH BESAR LEBIH BAGUS

MPV adalah sebuah kenderaan yang bagus, ia besar, boleh memuatkan 7 atau 8 penumpang dengan selesa dan masih ada lagi ruang untuk disumbat dengan pelbagai barangan lain untuk perjalanan jauh. Namun ia masih lagi ada kekurangan dengan rekaannya yang seperti diilhamkan dari kotak kasut Prada. Rekabentuk berkotak bagus kerana jumlah ruang kabin yang ditawarkan sangat cemerlang. Bagi menutup kelemahan rekaan berkotak ini MPV biasa datang dengan pelbagai rekaan seperti lampu depan berlapis, bampar depan rekaan Optimus Prime dan mungkin juga tempat duduk lengkap dengan mesin urut. Urusan pemanduan dibuat oleh pemandu yang digajikan khas.

Namun tak semua pengguna sukakan MPV berkotak dan memilih untuk memandu sendiri maka pilihan yang ada ialah SUV 7 tempat duduk yang lebih sedap dipandang. Ia masih mampu memuatkan 7 penumpang, sedikit ruang kargo, dinamik pemanduan yang bersemangat, enjin yang lebih bertenaga dan pelbagai ciri keselamatan yang jarang ditawarkan oleh MPV yang dijual oleh pengimport “kelabu”. Memperkenalkan Mazda CX-9 2.5 SkyActive-G Turbo 2WD.

Spesfikasi

ModelMazda CX-9 SkyActive-G 2WD
HargaRM288,610
EnjinSkyActive G 2500cc TGDi -Turbo
Transmisi6 Kelajuan Automatik
Suspensi DepanTopang McPherson
Suspensi BelakangMultilink
Berat1854 kg
Ruang Kargo230-800 liter (kerusi belakang dilipat)
Saiz Tayar225/50 R20 Bridgestone Ecopia
Ciri Keselamatan6 Beg Udara SRS
Kawalan Kestabilan Elektronik ESC
Brek Anti Terkunci ABS
Bantuan Mula Mendaki HAC
Sistem Bantuan Brek BA
Sistem Amaran Titik Buta
Sistem Amaran Lintasan Trafik Belakang
Sistem Pemantauan Pemanduan Lorong LKAS
Sistem Amaran Pemantauan Lorong LDAS
Brek Kecemasan Automatik – Depan / Belakang
Driver Attention Alert
Lampu Depan Adaptif

Rekabentuk

Falsafah rekabentuk Kodo diteruskan pada CX-9 dengan mengekalkan ciri seperti bentuk ruang enjin yang melarus, penggunaan rim sport yang besar, penggunaan gril kemasan hitam dengan logo Mazda yang terapung di tengah grill, serta penegasan rekaan “shoulder line” yang dibuat bermula dari lampu hadapan dan berakhir pada lampu belakang. Dari segi dimensi CX-9 memiliki panjang  5075mm, lebar 1969mm, tinggi 1747mm dan jarak antara roda 2930mm. CX-9 hanya kecil sedikit sahaja dari segi dimensi dengan Lexus LX yang berharga 1 juta lebih.

CX-9 juga lebih besar daripada mana-mana SUV lain dengan kapasiti 7 tempat duduk daripada Jepun, Korea ataupun dari Ford Everest namun rekaannya begitu bijak menyembunyikan saiznya yang besar. Sekali pandang anda akan perasan CX-9 ini umpama CX-5 yang disuntik dengan steroid kerana ada beberapa komponen mekanikal CX-5 turut digunakan pada model ini. Semasa rekabentuk, Model ini dinamakan dengan Mazda KOERU Konsep menampilkan sebuah SUV prestasi tinggi dengan penggayaan sporti.

Kemasan plastik berwarna hitam digunakan pada bahagian sisi, depan dan belakang bagi menampilkan seolah-olah CX-9 ini sedikit tinggi namun pada pandangan penulis ia sedikit mencacatkan bentuk elegen CX-9. Mazda mengolah kembali kemasan ini dengan penggunaan krom yang terang bersinar seperti pedang samurai. Rekaan bahagian depan iaitu enjin dibuat dengan bentuk melarus seperti Chevrolet Stingray C3 yang disudahkan dengan kemasan grill memberi keseimbangan yang baik antara ruang kabin penumpang dan enjin, menyembunyikan bentuk asas 2 kotak CX9 ini dengan berkesan dan harmoni.

Sudah tentu bagi penulis rekaan depan minalis, dipadankan dengan lampu LED, grill ambilan udara yang tunggal (lower dan upper air intake digabungkan) dan lampu kabus LED depan disembunyikan dengan baik memberikan impak sensual, serius dan matang bagi CX-9. Ibarat seorang CEO yang memerhatikan pekerjanya di pejabat dengan tegas.

Moden dan Mewah

Definasi rekabentuk moden ialah rekaan dengan garisan yang mudah, tajam, serta penggunaan pelbagai bahan seperti aluminium dan kaca. Ia termasuklah penggunaan rekebentuk ringkas dan menyenangkan mata memandang serta pemandu boleh memberikan fokus pada pemanduan. Tema hitam, kulit, kemasan “black piano finish” serta krom memberikan definasi baru perkataan mewah pada kereta buatan Jepun. Tiada kemasan jalur kayu palsu, jahitan palsu ataupun janji palsu di sini.

Papan pemuka dibalut kemas dengan kulit lembut berwarna perang gelap, dengan kemasan “aluminum brush” merentangi papan pemuka dan juga kemasan pintu. Kemasan “black piono finish” disusun rapi pada kawasan tombol gear dan kemasan pintu tanpa ada sebarang penggunaan plastik dengan tekstur kasar yang boleh mencela mata. Setiap titik sentuhan antara pemandu dan kereta diberi lapisan span dibalut kulit yang sedap disentuh seperti pada lutut kiri pemandu terdapat satu lapisan span dan kulit, kawasan perehat tangan kiri dan juga kawasan meletak siku di kanan.

Semua bahagian yang bersentuhan dengan kulit akan memberi gambaran ini ialah yang kabin direka dengan mewah dan teliti. Pegang saja roda steering dan anda boleh bezakan kualiti kulit yang digunakan oleh Mazda dengan sedan segmen B. Jauh sangat perbezaannya. Susun atur peralatan pemanduan seperti sistem Mazda Connect diletakkan seperti biasa dengan butang kawalan rotari bertindak seperti tetikus, unit kawalan audio, butang kawalan sistem di roda steering dan juga akses pada sistem paparan meter MID disusun ergonomik dan mudah dicapai.

Fungsi-fungsi tambahan keselamatan seperti sensor parkir, kamera 360 darjah, sistem keselamatan LKAS dan juga suis untuk pintu belakang bantuan elektrik diletakkan pada bahagian kanan.

Kusyen

Semua kusyen CX-9 dibalut dengan kulit untuk semua barisan. Barisan pertama datang dengan bantuan kuasa elektrik dan pemandu mendapat 2 tetapan memori untuk kusyen. Khas untuk pemandu, ada 10 cara pengubahsuaian yang diberikan termasuk sokongan tulang belakang. Bagi menyejukkan belakang terdapat kipas yang dipasang di dalam kusyen menyedut udara sejuk dan menyemburkan angin sejuk pada bahagian belakang dengan pilihan 3 kelajuan. Terdapat juga pemanas kusyen untuk pemandu depan tapi dengan cuaca panas di Malaysia, fitur tersebut tidaklah diperlukan sangat.

Berbanding dengan Mazda 6, CX-9 datang dengan kusyen yang lebih lembut, lebih menyokong pada bahagian belakang (pinggang) dan wujudnya bolster pada bahagian tepi (perut dan peha) agar ia dapat mengekang pemandu dari tergolek ketika selekoh namun amat  selesa untuk pemanduan jarak jauh mahupun dekat

HVAC

Khas untuk model CX-9, terdapat 3 zon penyaman udara disediakan iaitu pemandu, penumpang depan dan juga penumpang belakang. Terdapat 2 corong udara disediakan untuk penumpang barisan kedua lengkap dengan kawalan laju kipas, tetapan suhu dengan fungsi “auto climate control”. Ini bermakna pemandu, penumpang depan dan belakang boleh mempunyai tetapan suhu dan laju kipas yang berbeza. Namun sayang untuk barisan ketiga, tiada corong penyaman udara disediakan. Namun tiupan udara sejuk masih lagi sampai ke tempat duduk barisan ketiga dengan kuat

Aksesori Tambahan

Sebagai model “flagship” Mazda, CX-9 datang dengan ciri-ciri tamabahan seperti berikut:

1. Terdapat 10 speaker jenama Bose yang dipasang pada SUV mewah ini. 2 lagi speaker tambahan bertindak sebagai woofer dipasang pada papan pemuka dan juga panel belakang di ruang tayar simpanan menghasilkan bunyi yang padat setara dengan sistem Home Theater di rumah anda

2. Terdapat satu cermin suria (sunroof) tapi hanya di bahagian depan sahaja. Penutupnya boleh dibuka secara manual dan penutup kaca dibuka dengan menggunakan suis.

3. Terdapat fungsi langsir ataupun blind pada barisan tempat duduk kedua jika anda inginkan privasi. Malah penyandar kusyen ini boleh dilaras agar anda boleh tidur ketika dalam perjalanan

4. Jika semua tempat duduk digunakan, masih terdapat ruang kargo sebesar 230 liter untuk anda. Namun jika anda melipat kedua dua tempat duduk barisan ketiga, ia menyediakan ruang kargo sebesar 800 liter, terbaik di dalam kelasnya

5. Pintu belakang boleh dibuka dan ditutup dengan menggunakan kunci kawalan jauh, suis di bahagian kanan pemandu ataupun suis di bahagian pintu ini sendiri. Terdapat satu lampu dipasang untuk memudahkan anda menyusun semua barang pada waktu malam

6. Ada 4 soket USB disediakan iaitu 2 di ruang simpanan tengah di bawah perehat tangan depan, dan 2 di bahagian tengah perehat tangan belakang. Kalau masih tidak cukup, ada satu soket punca kuasa 12v pada bahagian pemandu depan.

Pengalaman Pemanduan

CX-9 dikuasakan dengan enjin 2500cc SkyActiv-G merupakan enjin barisan SkyActiv yang dipadankan dengan turbo. Nisbah mampatan kekal tinggi pada 10.5:1 walaupun menggunakan turbo dan ia menghasilkan 228 kuasa kuda pada 5000 RPM dan 420Nm tork pada 2000 RPM. Angka ini jauh lebih tinggi daripada enjin SkyActiv-D 2.2 milik Mazda sendiri. Tork yang dihasilkan jauh lebih cukup untuk menggerakkan CX-9 dengan selamba walaupun SUV ini seberat 1854kg.

Terdapat 2 pilihan pacuan untuk CX-9 samaada 2WD yang menghantar semua kuasa pada roda depan ataupu versi AWD. Proses penghantaran kuasa digalas oleh unit transmisi 6 kelajuan automatik SkyActiv Drive dengan lancar dan pihan gear boleh dibuat menggunakan kawalan “Shiftronic”jika diperlukan. Sama seperti CX-5, tiada fitur “paddle shift” ditawarkan namun dengan tork sebesar 420Nm pada RPM yang rendah pecutan yang dibuat oleh CX-9 adalah sangat padu. Fenomena turbo lag pada enjin ini hampir tidak terasa dan kalau ada sekalipun mungkin dalam 0.005 saat respon diperlukan untuk CX-9 memcut deras ke depan

Anda boleh baca maklumat lanjut berkenaan enjin SkyActiv-G Turbo di sini

Sebaik sahaja CX-9 mula bergerak ke jalan besar dan seterusnya ke lebuhraya, perkara pertama yang penulis perasan ialah betapa senyapnya operasi enjin, transmisi dan sistem suspensi bekerja. Sesekali terdengar juga bunyi enjin menderam lembut jika penulis menekan pedal minyak lebih sedikit untuk merasai kekuatan enjin, CX-9 pantas meluru ke depan bagaikan layang-layang terlepas dari tali.

Ia memberi isyarat pada penulis bahawa walaupun senyap dan sopan, ia boleh menjadi liar jika pedal ditekan rapat. Hanya beberapa saat sahaja diperlukan untuk CX-9 ini memecut dari halaju 110km/j menjadi 180km/j meninggalkan kenderaan lain terpinga-pinga mungkin juga terkejut melihat CX-9 ini memecut deras bagaikan sebuah kereta kompak. Malah kawalan cesinya kekal stabil walaupun dipandu pada halaju 180km/j termasuklah ketika melalui selekoh ataupun melakukan zig-zag di lebuhraya bagi mengelak kenderaan lain yang dipandu perlahan di laluan kanan.

Kestabilan yang dirasai membenarkan penulis merentasi selekoh tanpa sedikitpn mengangkat kaki dari pedal minyak. Pada laluan lurus bahagian belakang CX-9 walaupun nampak besar dan berat, namun sangat tertib dalam pergerakan. Segala kecacatan permukaan lebuhraya diserap dengan baik tanpa sebarang ayunan liar yang akan menyebabkan kita hilang kepercayaan pada kawalan stering. Stering “feel” pula diberikan rasa seperti stering bantuan hidraulik walaupun ia sebenarnya unit bantuan elektrik.

Bantuan Mazda i-ACTIVESENSE termasuklah sistem pemantauan pemanduan lorong (Lane Keeping Assist System) yang akan membaca garisan jalan berwarna putih dan mengambil alih 50% tugas mengawal stering daripada pemandu sekaligus mengurangkan beban pemanduan. Namun awas, jika anda didapati melepaskan kedua-dua belah tangan anda daripada roda stering akan muncul satu amaran keras pada meter dan juga HUD mengingatkan anda ini bukanlah sebuah kenderaan pandu sendiri.

Lane Departure Warning System pula akan memantau pergerakan stering dan garisan putih di jalan raya. Jika anda memasuki lorong lain tanpa memberi isyarat, ia akan mengesan anda mulai mengantuk ataupun cuai dalam memandu dan menghalang anda dari memasuki lorong lain kecuali anda menggunakan lampu isyarat menukar lorong

Masuk pula ke jalan kampung CX-9 masih lagi kekal tenang menyerap permukaan jalan yang menggerutu namun jika melalui simpang atau selekoh yang sedikit berpasir, maka keupayaan tayar Bridgestone Ecopia boleh dipertikaikan. Cengkaman terasa kurang memuaskan walaupun pada waktu hujan ia masih boleh diharap. Ujian penulis ketika melalui selekoh S juga membuktikan berat cesi CX-9 membantutkan kelincahan cesi ketika diuji. Bahagian belakang terasa sedikit beroleng dan gagal mendengar kata stering dengan cepat. Mungkin inilah satu-satunya kelemahan cesi CX-9 yang berat namun sudah pasti SUV segmen D ini bukanlah dicipta khas untuk meratah selekoh demi selekoh di jalan kampung.

Namun jika anda memandu secara tertib, kawalan cesi GVC atau G-Vectoring Control akan memastikan cesi CX-9 kekal stabil dengan membatalkan segala pergerakan yang membuatkan badan pemandu dan penumpang berasa penat seperti dive (muncung kereta mendap ke depan), squat (bahagian belakang mendap ke belakang) dan olengan cesi pada tahap yang minima. Anda boleh baca maklumat lanjut mengenai GVC di sini.

Sebagai model termahal Mazda juga, ia ditawarkan dengan teknologi pengelap cermin depan bersama sensor yang akan beroperasi berdasarkan keadaan hujan dan juga lampu hadapan dengan Adaptive LED Headlight iaitu lampu depan yang boleh mengubah sudut ketinggian dan keamatan cahaya berdasarkan keadaan jalan dan mengurangkan cahaya lampu jika ada kenderaan yangd datang dari arah hadapan. Disebabkan SUV ini terlampau selesa dan boleh menyebabkan mengantuk ia juga hadir dengan sistem Driver Attention Alert yang akan memberi amaran jika anda mulai cuai memandu dan mengalami micro sleep.

Jika anda memandu pada halaju 100km/j, meter RPM kekal dibawah 2000 RPM seolah-olah ia terasa malas bekerja. Tiada getaran, gegaran ataupun bunyi yang akan sampai pada pemandu melainkan anda melanggar lubang yang besar pada permukaan jalan. Anda tenang mengemudi CX-9 ibarat kapal layar Equaminity belayar dengan tenang di Selat Melaka. Silap hari bulan anda boleh terlena bersama-sama dengan penumpang yang lain. Berikut ialah bacaan RPM dan juga bunyi semasa CX-9 dipandu:

Halaju km/jRPMBunyi dB
100190055.7
110210056.3
120220058.4
130240061.3
140260064.9
1502800NA

Sebaik sahaja penulis duduk di kusyen, semua susun atur suis, butang dan unit kawalan adalah dalam capaian tangan penulis. Tombol MZD Connect senang dikawal dan terasa sangat intuitif dan mudah digunakan. Sokongan kusyen pada bahagian peha, pinggang dan bahu terasa amat selesa dan natural dan hanya sedikit pengubahsuian dibuat bagi mendapatkan posisi kedudukan pemanduan yang ideal. Cermin sisinya memaparkan maklumat sistem amaran titik buta dengan jelas malah ia turut dipaparkan pada unit Head Up Display

Tidak seperti CX-3 yang memerlukan cermin khas untuk fungsi HUD, maklumat penting dipancarkan dengan projektor khas terus pada cermin hadapan. Halaju semasa, amaran had laju, sistem amaran titik buta, sistem navigasi realiti yang memaparkan arah navigasi, dan juga sistem pemanduan auto dipaparkan dengan jelas tanpa mengira waktu malam ataupun siang

Paparan meter CX-9 hadir dalam kombinasi digital dan analog memudahkan pemandu membaca semua maklumat yang penting. Meter RPM dan halaju kekal dalam bentuk analog manakala unit Multi Info Display yang memaparkan pelbagai maklumat berada di bahagian kanan sekali. Unit MID memaparkan baki petrol, penggunaan petrol semasa, suhu enjin, dan pelbagai maklumat sistem keselamatan yang lain jika diaktifkan. Berbeza dengan jenama Jepun yang lain, meter CX-9 hadir dalam warna putih dengan warna latar belakang hitam, sama seperti kereta Continental yang lain agar ia mudah dibaca walaupun dengan sekali imbas.

Secara purata penggunaan petrol bagi CX-9 amatlah mengejutkan penulis kerana tanggapan awal penulis sudah pasti penggunaan petrol SUV besar dengan enjin petrol ini bagaikan hantu raya yang mengigit tuannya. Secara purata pada halaju malar 110km/j penggunaan petrol ialah 13.5km per liter petrol, penggunaan dalam laluan bandar jatuh pada 11.5km per liter dan ketika memandu laju jatuh pada 10.5km per liter.

Dengan bantuan kamera 360 darjah dan sistem amaran Lintasan Trafik Belakang proses memarkir dan juga keluar dari parkir untuk SUV ini amatlah senang walaupun saiznya amat besar. Malah lebih senang berbanding dengan kenderaan pacuan 4 roda milik penulis yang hanya dipasang dengan kamera undur belakang sahaja.

Sistem Keselamatan CX-9

1. Sistem brek dengan kombinasi ABS, EBD, Brake Assis serta Dynamic Stability Control

2. Terdapat 6 beg udara SRS

3. Pakej i-ACTIVESENSE yang merangkumi Brek Kecemasan Automatik (Depan dan Belakang), Sistem Amaran Titik Buta, Sistem Amaran Lintasan Trafik Belakang, lampu led Adaptif, Lane Keep Assist System, Lane Departure Warning System dan juga Driver Attention Alert.

4. Kamera 360 darjah yang akan memaparkan sisi depan, belakang, kiri dan kanan dengan suapan 4 kamera

Kritikan pada CX-9

Walaupun CX-9 boleh dikatakan agak bagus, namun terdapat beberapa ciri tambahan yang perlu ditambah oleh Mazda bagi menjadikan SUV ini lebih baik seperti:

1. Sistem pemanduan automatik Autocruise hanya ditawarkan dalam mode pasif sahaja. Adalah lebih baik jika ia ditawarkan dalam Adaptive AutoCruise yang menggunakan radar.

2. Ruang kaki di barisan ketiga agak kecil walaupun ruang lutut agak luas.

3. Tiada corong penyaman udara untuk barisan tempat duduk ketiga

4. Tayar asal yang ditawarkan iaitu Bridgestone Ecopia walaupun senyap namun cengkaman yang diberikan dalam sesetengah situasi kurang memuaskan

5. Kualiti kamera yang dipaparkan masih lagi perlu diperbaiki

6. Tiada fungsi AutoHold walaupun menggunakan brek parkir kuasa elektrik

Rumusan: Abaikan / Dipertimbangkan / Beli terus?

Penulis baru sahaja melihat iklan di laman sesawang jual beli kereta dan sebuah Vellfire terbaru yang diimport dari Jepun dengan perbatuan kurang daripada 5000km (masih boleh dipertikaikan) berharga sekitar RM360,000 manakala CX-9 berharga kurang RM70,000 dari MPV tersebut. Soalnya sekarang ialh personaliti diri anda sendiri samaada anda seorang yang bersifat lalang yang ikut sahaja pendapat orang ramai dan memilih MPV sebagai pilihan.

Atau anda seorang yang ada personaliti sendiri dan individualistik, suka membuat pilihan berdasarkan logik dan keseronokan pemanduan sebagai faktor utama, maka Mazda CX-9 ini sesuai untuk anda. Ia pilihan yang lebih sensual, lebih tegas pendirian, lebih seronok dipandu dan lebih besar berbanding dengan pesaingnya yang lain.

Google ads
"
"
Back to top button