Buletin

TAHUKAH ANDA TANPA BOSCH TEKNOLOGI EV UNTUK KENDERAAN MUNGKIN LAMBAT MENJADI KENYATAAN?

Sebagai pengeluar komponen automotif terulung di dunia, Bosch memang cukup arif dengan peralihan teknologi dari enjin pembakaran dalaman kepada kenderaan berasaskan elektrik (EV). Bosch tidak mahu ketinggalan dan turut sama melabur dalam bidang elektrifikasi dan muncul dengan produk-produk terbaru.

Setahun sebelum ini Bosch telah membeli syarikat Seeo Inc yang berpengkalan di California yang memegang hak eklsklusif terhadap paten bateri sel lithium polimer. Dengan menguasai syarikat tersebut Bosch dikatakan bakal memperkenalkan teknologi bateri baru ke pasaran menjelang 2020 dengan bateri berkuasa 50 kWh yang mempunyai berat sekitar 190 kilogram sahaja. ia merupakan satu revolusi baharu dalam rekaan bateri lithium polimer.

Kini Bosch telah memperkenalkan motor kuasa elektrik terbaru di North American International Auto Show (NAIAS) untuk melengkapkan produk OEM untuk kenderaan EV.

Unit yang dinamakan ‘eAxle’ dengan fungsi pelbagai telah diperkenalkan kepada umum dan dikatakan berfungsi dengan kos 5-10 peratus lebih menjimatkan berbanding peralatan dengan fungsi tunggal. Ia merupakan satu unit yang fleksibel dan menggabungkan peralatan dengan fungsi terbaik keluaran Bosch di dalam satu sistem.

Bosch juga mendakwa unit kuasa bersepadu ini adalah dua puluh peratus lebih kecil daripada motor kuasa elektrik konvensional yang digunakan kenderaan EV dan mempunyai kos pengeluaran yang lebih rendah.

Bosch bagaimanapun belum lagi mengeluarkan spesifikasi penuh alat ini. Ia dihasilkan berdasar kepada maklumbalas yang diterima pengeluar selain pengguna dan keyakinan mereka bahawa elektrifikasi kenderaan akan menjadi trend di masa akan datang. Jadi mereka menyediakan penyelesaian kepada pengeluar agar ia dapat disalurkan kepada pengguna melalui produk keluaran mereka.

Buat masa kini, pengeluar kenderaan banyak bergantung kepada pembekal tunggal peralatan untuk kenderaan-kenderaan EV baharu keluaran mereka sekaligus menyebabkan kosnya agak tinggi. Bosch melibatkan diri untuk turut menyumbang kepada pembekal asal bagi menjimatkan kos sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada satu pembekal sahaja.

Malah penyelidikan yangh dilakukan Bosch di Amerika Syarikat menunjukkan dalam masa sepuluh tahun, 62 peratus bakal pembeli kereta baru akan memilih kenderaan EV sepenuhnya. Manakala 71 peratus lagi percaya bahawa seluruh kenderaan kegunaan seharian mereka yang menjadi kenderaan EV sepenuhnya dalam masa 15 tahun.

BACA: BOSCH – GERGASI KEJURUTERAAN DARI JERMAN

Sudah tentu ia tidak berapa realistik kerana untuk memastikan setiap rumah mempunyai kenderaan EV, seluruh industri memerlukan masa 20 tahun untuk menghasilkannya. Malah buat masa sekarang, EV cuma menyumbang 2 peratus sahaja kepada jualan kereta baru keseluruhan.

Namun ramai yang yakin EV sememangnya adalah gaya hidup akan datang dan bakal menggantikan enjin pembakaran dalaman suatu hari nanti.

Google ads
Back to top button