Artikel PilihanBuletin

SUBARU JUSTY – EH! DAIHATSU SIRION/PERODUA MYVI KE NI?

Kerjasama yang jelas di antara Toyota Motor Corporation dan Fuji Heavy Industries terbukti melalui penghasilan model Toyota GT86 dan Subaru BRZ.

Kedua-dua model tersebut menggunakan badan dan nadi kuasa enjin yang sama. Perbezaan nyata hanyalah daripada segi reka bentuk. Tetapi jika dikaji lebih dalam, kerjasama di antara dua kumpulan itu di peringkat antarabangsa telah berlangsung lama dahulu.

Inilah dia Subaru Justy. Atau Daihatsu Sirion. Atau Perodua Myvi.

Jika disoroti sejarah Justy, model itu mula dipasarkan sejak tahun 1984 lagi dan bersaing dengan kereta kei Jepun lain. Walaupun berada dalam segmen kereta kei, Justy turut dipasarkan ke negara luar seperti Amerika Syarikat, Kanada, Taiwan dan Eropah.

Ia mula dipasarkan dengan sesaran enjin 1.0 dan 1.2 liter dan menariknya pada 1987 lagi telah menggunakan transmisi ECVT (electronically controlled continously variable transmsion).

Subaru sebenarnya syarikat Jepun pertama membangunkan transmisi CVT versi mereka sendiri dan memasarkannya secara besar-besaran. Jadi tidak hairanlah apabila transmisi CVT Lineartronic turut terpakai pada model-model seperti Impreza dan Forester.

Seperti lazimnya Subaru, Justy menggunakan pacuan 4WD on demand selain pacuan roda depan (FWD).

Walaupun Justy bersaing dengan kereta kompak lain tetapi ia turut terjebak dengan pertukaran lencana (rebagde) sejak tahun 1994 lagi. Pada masa itu Subaru telah bekerjasama dengan Suzuki untuk menjenamakan semula Cultus (Swift) sebagai Justy untuk pasaran Eropah.

Justy mempunyai varian badan sama seperti Cultus iaitu dua dan lima pintu. Sistem pacuan pula menggunakan 4WD sepenuh masa standard untuk kedua-dua varian.

Maka bermulalah era pertukaran lencana Justy.

Pada November 2007, Justy yang asalnya dipasarkan untuk bersaing dengan Daihatsu Charade telah menggunakan khidmat model daripada ahli kumpulan Toyota itu. Orang kata, jika tidak berjaya kalahkan pesaing, sertailah mereka.

Sebelum itu, Toyota sebenarnya sudah memiliki sedikit saham dalam FHI susulan pelepasan milikan oleh General Motors pada tahun 2005.

Subaru menggunakan Daihatsu Sirion untuk model Justy dan buat pertama kali dalam sejarah, model itu menggunakan sistem pacuan dua roda sahaja tanpa pilihan 4WD atau AWD. Justy menggunakan enjin 1KR-FE 1.0 liter DVVT dengan transmisi manual lima kelajuan.

Satu lagi fakta ialah, enjin tiga silinder yang sama turut digunakan oleh Toyota Yaris dan Aygo, Citroën C1 dan Peugeot 107.

Sewaktu mengumumkan penjualan Justy, Subaru UK memang tidak berselindung dan mengakui bahawa model baharu itu diasaskan dari Daihatsu Sirion. Urusan menjadi lebih mudah memandangkan Toyota mempunyai saham dalam kedua-dua syarikat iaitu Subaru dan Daihatsu.

Selain penggunaan Sirion, perjanjian turut merangkumi had jualan di mana hanya 6,000 unit sahaja Justy dipersetujui untuk dipasarkan di seluruh Eropah setiap tahun termasuk 1,000 unit di UK.

Sama seperti Daihatsu Sirion, Justy dilengkapi dengan kelengkapan keselamatan standard yang cemerlang. Ia dilengkapi ABS dengan EBD, poin ISOFIX kerusi belakang dan paling istimewa enam beg udara iaitu pemandu, penumpang sebelah, sisi dan tingkap sisi depan dan belakang.

Walau bagaimanapun, Justy tidak dilengkapi Kawalan Penstabilan Kenderaan (VSC) sama seperti Daihatsu Sirion 1.5 SX.

Satu lagi ciri menarik ialah, Justy mempunyai sistem talaan casis mengikut citarasa Eropah. Ia mempunyai jarak (suspension travel) lebih panjang untuk pemanduan yang lebih selesa.

Bar anti oleng pula dipasangkan di depan dan belakang kereta selain daripada mendapan (damping) yang lebih keras supaya ia lebih lincah dipandu.

Memandangkan kita sudah biasa sangat dengan Daihatsu Passo, ada tidak sesiapa yang mahu membawa masuk model ini dari UK? Atau paling tidak bawa masuk half cut?

Ini barulah super rare, Perodua guna komponen Subaru!

Lupa pula nak maklum, Subaru Justy ada versi baharu di Jepun. Kembarnya ialah Daihatsu Thor atau Toyota Tank.

BACA: DAIHATSU SIRION SPESIFIKASI UK – MACAM BIASA LIHAT KAN?

BACA: SUBARU WRX STI TYPE RA NBR SPECIAL – SEDAN 4 PINTU TERPANTAS DI THE RING

[ngg_images source=”galleries” container_ids=”5″ display_type=”photocrati-nextgen_basic_thumbnails” override_thumbnail_settings=”1″ thumbnail_width=”100″ thumbnail_height=”80″ thumbnail_crop=”1″ images_per_page=”20″ number_of_columns=”5″ ajax_pagination=”0″ show_all_in_lightbox=”0″ use_imagebrowser_effect=”0″ show_slideshow_link=”1″ slideshow_link_text=”[Show slideshow]” order_by=”sortorder” order_direction=”ASC” returns=”included” maximum_entity_count=”5000″]
Google ads
Back to top button