Buletin

TAK SAMPAI 48 JAM MB JOHOR BUAT SPOT CHECK JALAN BERLUBANG DI HSA, JALAN PUN DITURAP

Tidak sampai 48 jam Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, membuat lawatan mengejut meninjau keadaan jalan raya berlubang dan kemudahan di sekitar Hospital Sultanah Aminah (HSA), syarikat konsesi akhirnya mengambil tindakan segera membaik pulih dan menurap jalan di hospital berkenaan.

Onn Hafiz dalam muat naik di akaun Facebooknya berkata, hasil lawatannya di HSA pagi tadi (semalam), beliau mendapati kerja baik pulih jalan sudah dilaksanakan.

“Hasil lawatan saya pagi ini ke HSA Johor Bahru, mendapati kerja baik pulih jalan sepanjang 120 meter di hadapan poliklinik di hospital itu sudah bermula dan akan diteruskan hari ini.

“Pada masa sama, Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuat permohonan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi meluluskan peruntukan bagi kerja baik pulih bekalan elektrik, sistem elektrik dan mekanikal di HSA.

“Terima kasih kepada YB Khairy Jamaluddin (Menteri Kesihatan), YB Ling Tian Soon (EXCO Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor) KKM dan semua pihak yang berusaha membantu rakyat.

Ahad lalu, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, dilaporkan mengadakan lawatan mengejut ke HSA, di sini, antara hospital awam tersibuk di negara ini.

Beliau dilaporkan melihat sendiri keadaan fasiliti, jalan raya dan landskap di sekitar HSA selain secara peribadi menghubungi Menteri Kesihatan mengenai situasi hospital itu.

“Kami telah meminta syarikat konsesi yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan segera bagi membaik pulih jalan-jalan di sekitar hospital serta memperindahkan semula landskap hospital ini.

“Kerja baik pulih dicadangkan dibuat pada waktu malam supaya tidak mengganggu urusan pesakit pada sebelah siang. –Berita Harian/FB MB

Google ads
Back to top button