
SULTAN JOHOR KURNIA KERETA PADA PENGARAH, KAKITANGAN WAD DIRAJA HSA
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengurniakan kereta kepada Pengarah dan kakitangan Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Pada September lalu, Baginda menghadiahkan 10 kereta Myvi kepada jururawat di wad berkenaan.
Menerusi hantaran di Facebook Baginda, pengurniaan itu adalah sebagai penghargaan atas dedikasi, komitmen serta profesionalisme yang tinggi dalam perkhidmatan mereka.
Antara penerima kenderaan itu merupakan Pengarah HSA, Dr Mohtar Pungut @ Ahmad; Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan & Trauma, Dr. Ismail Jumali dan Pegawai Perubatan Unit Kardiotorasik Anestesia, Dr. Mohd Firdaus Shamsuddin masing-masing menerima sebuah Proton X70.
Manakala Ketua Penyelia Jururawat, Sarinah Sukor dan Penyelia Jururawat, Fauziah Sulaiman masing-masing menerima sebuah Perodua Myvi.
Kenderaan diserahkan oleh Datuk Perdana Dalam, Kolonel (B) Datuk Mohamed Perang Musa selaku wakil kepada Baginda Tuanku Sultan Ibrahim.
Menurut Dr. Mohtar, pihaknya mengucapkan terima kasih atas kurniaan yang diberikan.
“Patik memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT dan menjunjung setinggi-tinggi kasih atas kurniaan Baginda ini kepada patik dan kakitangan sekalian.
“Patik mendoakan Tuanku serta Kerabat Diraja sentiasa sihat sejahtera. Insya-Allah, kami akan terus berikan perkhidmatan terbaik kepada Tuanku sekeluarga serta rakyat jelata,” katanya. – FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar