Buletin

JALAN TEMIANG-PANTAI BUKAN PORT MELEPAK. JANGAN SUSAHKAN PENGGUNA JALAN RAYA

Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban telah mengadakan Operasi Halangan di Jalan Temiang-Pantai.

Operasi berkenaan dilaksanakan bagi mengelak tindakan segelintir pengguna jalan raya berhenti di kecemasan di sepanjang laluan tersebut yang boleh mengundang bahaya semua pihak.

Menurut laman Facebook Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM, tindakan memberhentikan kenderaan di bahu jalan atau lorong kecemasan boleh diambil tindakan.

Tindakan yang boleh dikenakan adalah di bawah Kaedah 50 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu ‘Larangan Terhadap Halangan’ dan Kaedah 53 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu ‘Lorong Kecemasan’ yang jelas tidak membenarkan mana-mana individu atau kenderaan berada di atas jalan yang boleh menghalang lalulintas.

Pesalah juga boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan kerana melakukan mudarat awam.

Pihak didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan.

Mereka juga boleh didenda tidak melebihi empat ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua belas bulan atau kedua-duanya dalam hal sabitan kali kedua atau kali kemudian.

Sepanjang operasi ini dijalankan sebanyak 17 saman telah dikeluarkan dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya. – FB JSPT

Google ads
Back to top button