
ISU RFID: KOS CUMA RM1, TETAPI KENAPA JUAL RM35? – NAJIB
Lagi mengenai Identifikasi Frekuensi Radio atau lebih dikenali sebagai RFID. Kali ini mengenai kos pasif pelekat itu yang didakwa hanya serendah RM1, tetapi dijual pada harga RM35 sekeping oleh pihak Touch ‘n Go.
Isu tersebut dibangkit oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di laman Facebooknya yang mempersoalkan kenapa pelekat itu dijual pada harga yang sangat tinggi.
“Kos sticker (pelekat) RFID pasif biasanya bawah RM1 sekeping. Jadi, kenapa pula dijual pada harga RM35?,”soal Najib.
Pada hantaran sama, Ahli Parlimen Pekan berkata, pelekat RFID sepatutnya diberi percuma kepada setiap pelanggan Touch ‘n Go kerana kosnya rendah dan ia percuma dari tahun 2018 hingga Februari 2020. Namun katanya, bermula 15 Februari 2020, pelekat berkenaan dijual pada harga RM35 sekeping.
Soal beliau lagi, adakah syarikat Touch ‘n Go atau PLUS akan memberi rebat bagi pemilik Smart Tag yang tidak berfungsi, sekiranya plaza tol beralih sepenuhnya kepada sistem RFID.
Najib memberitahu, syarikat Touch ‘n Go dimiliki CIMB Bank, Ant Group dari China, syarikat insurans AIA Group dari USA dan firma pelaburan Bow Wave Capital dari New York.
Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna media sosial bersetuju dengan pendedahan bekas Perdana Menteri itu dan mahu satu tindakan segera diambil bagi menyelesaikan isu terbabit.
“Setuju dengan pandangan dan cadangan mantan perdana menteri, sekarang zaman kegawatan, ekonomi masih sakit.
“Ini bukan masanya untuk suruh rakyat keluar duit membeli sesuatu yang tak pasti boleh pakai, sticker tu pun silap haribulan kena panas matahari pada cermin boleh hilang atau tertanggal,” kata Ahmad Mazwani.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Roslan Bian. “Sepatutnya ditukar secara percuma oleh syarikat pengendali,” ujarnya.
Sehingga malam semalam, hantaran berkenaan telah dikongsi lebih 1,300 kali dan mendapat lebih 30,000 tanda suka dan dikongsi lebih 3,100 kali. – K! ONLINE