Buletin

ISU RFID: PLUS BUKA SEMULA 19 LORONG SMARTTAG, MOHON MAAF KEPADA PENGGUNA

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan mengaktifkan semula lorong SmartTAG yang sebelum ini ditutup di 19 lorong SmartTAG di 16 plaza tol sebelum 25 Januari 2022 untuk kelancaran trafik sempena Perayaan Tahun Baru Cina.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis, ia adalah ekoran daripada rungutan dari pelanggan SmartTAG dan pengurusan trafik sejak kebelakangan ini.

“PLUS sedar kesulitan yang dihadapi oleh pelanggan lebuh raya ketika pelaksanaan RFID laluan Juru-Skudai baru-baru ini

“Justeru, PLUS komited untuk mengembalikan semula 19 lorong SmartTAG di 16 plaza tol sebelum 25 Januari untuk kelancaran trafik sempena Perayaan Tahun Baru Cina.

“Selepas perayaan itu, sebanyak 24 lorong SmartTAG akan diaktifkan di 18 plaza tol pada 19 Februari depan,” ujarnya.

Selain itu, PLUS turut menyatakan komitmen untuk mengambil segala pendekatan perlu dalam mengoptimumkan prestasi sistem RFID dan meningkatkan kadar pengesanan tag RFID di plaza tol.

“Palang tol berganda yang lebih pantas akan dipasang di plaza-plaza tol dengan jumlah trafik yang tinggi bagi memastikan kenderaan dapat melalui lorong RFID dengan lebih pantas.

“Sebagai tambahan, lokasi zon pengesanan RFID akan ditandakan pada permukaan jalan bagi membolehkan pengguna memastikan kedudukan kenderaan mereka dengan lebih baik dalam meningkatkan kadar pengesanan yang lebih tinggi ketika melalui lorong RFID,” tambahnya.

Bagi memberi bantuan kepada pelanggan RFID yang menghadapi masalah dengan menggunakan Peranti Pengesan Mudah Alih, PLUS menempatkan Pembantu Khidmat Pelanggan di semua 158 lorong RFID di semua 74 plaza tol.

Syarikat konsesi itu turut komited untuk menyediakan Lokasi Strategik bagi Pusat Pemasangan Tag RFID dan Penggantian di Lebuhraya PLUS dan di luar lebuh raya.

“Terdapat 24 Pusat Pemasangan Tag RFID di Lebuhraya PLUS dan 35 lagi lokasi berada di luar lebuh raya.

“Pelanggan yang mengalami masalah pengesanan RFID di lebuhraya PLUS akan menerima kupon Touch N Go dari pembantu Khidmat Pelanggan kami dan pelanggan boleh terus ke pusat Pusat Pemasangan Tag RFID yang terdekat untuk pemeriksaan.

“Jika tag didapati rosak, pihak Touch N Go akan menggantikan tag tersebut secara PERCUMA,” tambah PLUS.

PLUS pada masa sama memohon maaf atas kesulitan yang dialami akibat kesesakan yang berlaku semasa permulaan pelaksanaan RFID Perintis Awam ke-2 sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan dari Juru ke Skudai pada 15 Januari lalu. – AWANI

Google ads
Back to top button