,
Motosikal

TEMPAT KE-6 DI JEREZ, HAFIZH SEMAKIN BERSEMANGAT

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah memulakan kempen 2020 dengan meyakinkan apabila menamatkan perlumbaan di litar Jerez, Sepanyol di kedudukan keenam semalam.

Biarpun terpaksa turun ke Moto2 pada musim ini dengan Inde Aspar Team Moto2, Hafizh bagaimanapun mahu membuktikan bahawa dia mampu memberi sumbangan terbaik kepada pasukan baharunya itu.

Memulakan perlumbaan di petak ke-15, Hafizh menyempurnakan 23 pusingan dengan catatan keseluruhan 39 minit 38.875 saat.

Keputusan itu nyata menyemarakkan lagi semangatnya selepas hanya berada di tempat ke-19 pada GP Qatar Mac lalu.

Perlumbaan MotoGP terpaksa bercuti Panjang akibat penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia.

Berada di kedudukan keenam menyaksikan pelumba kelahiran Selangor itu mengulangi pencapaian sama dalam saingan Moto2 di GP Valencia pada 2017.

“Saya boleh katakan, saya rindukan perasaan seperti ini sudah lama. Jadi kembali merasai perasaan seperti ini, saya bersyukur apabila dapat tempat keenam.

“Terima kasih kepada pasukan yang sentiasa berusaha dan percaya kepada saya. Saya akan buat yang terbaik pada perlumbaan akan datang. Saya perlu perbaiki catatan di sesi kelayakan selepas ini kerana pada sesi kelayakan sebelum ini, saya mempunyai masalah dengan tayar.

“Perlumbaan tadi agak panas jadi ia sedikit sukar untuk semua pelumba. Apapun, saya sudah melakukan yang terbaik,” kata Hafiz yang bakal beraksi di litar sama pada hujung minggu ini.

Pelumba SKY Racing Team VR46, Luca Marini menjuarai perlumbaan dengan catatan masa keseluruhan terbaik 39’23.297s. Manakala pelumba pasukan Tetsuta Nagashima, Red Bull KTM Ajo berada di tempat kedua.

Tempat ketiga milik seorang lagi pelumba Red Bull KTM Ajo, Jorge Martin

Seorang lagi pelumba Moto2 negara, Kasma Daniel Kasmayudin hanya menamatkan perlumbaan di tempat ke-22 selepas bermula daripada petak paling belakang, ke-30. – Berita Harian foto: FB Official Hafiz Fan Club

Tags
Google ads
Back to top button