Artikel Pilihan

FORD KA – INILAH DIA ADIK BONGSU SI FORD FIESTA

Lama dahulu, Ford Fiesta boleh dianggap sebagai model yang paling kompak yang pernah dihasilkan. Sejarah Ford Fiesta telah lama bermula semenjak tahun 1976 lagi. Tapi Ford menyedari, seakan ada ruang kosong yang masih boleh diisi dalam pasaran. Sebuah lagi model yang benar- benar kompak dalam Segmen A. Maka, terhasillah model Ford Ka.

Senang cerita, penghasilan model Ford Ka ini sebagai jawapan untuk memenuhi ruang kosong tersebut. Dan sudah tentu model ini barangkali sifatnya lebih mesra slip gaji pembeli ketika itu. Generasi pertama Ford Ka ini mula diperkenalkan pada tahun 1996 dan bertahan sehingga ke tahun 2013.

Jelas sekali penampilan pertama Ford Ka ini tidaklah begitu menarik perhatian langsung. Entah apalah yang berada dalam fikiran sang Pereka, Claude Lobo, walhal sebelumnya beliau telah mereka bentuk beberapa model seperti Fiesta generasi pertama dan juga Cougar Mercury. Dari garis kontur hadapan membawa ke bahagian belakang, pelik sepeliknya. Tapi ada mengatakan ianya comel. Entahlah.

Di sebalik rekaannya yang kurang menarik perhatian, namun sambutan yang diberikan oleh pembeli boleh tahan juga sebenarnya. Di awalnya Ford Ka ini banyak dijual di Brazil dan negara serantau sebelum beberapa tahun kemudiannya model yang comel ini mula dijual di pasaran Eropah. Dan tahukah juga bahawa terdapat pertandingan Rally Ka Championship di UK, khusus untuk perlumbaan rali di peringkat awal.

Pada tahun 2008, Ford Ka ini telah pun menemui pengganti untuk generasi kedua. Rekaannya kali ini lebih menyerlah kecomelannya. Terima kasih kepada kerjasama apabila Ford Ka yang baharu ini dibangunkan oleh Fiat S.p.A dan dipasang oleh kilang Fiat yang terletak di Poland dengan menawarkan pilihan enjin 1.2 liter Duratec dan 1.3 liter Duratorq.

Memandangkan Ford Ka ini dibangunkan di atas pelantar Fiat Mini, maka beberapa peralatan turut dikongsi daripada model Fiat 500. Tahukah juga bahawa model yang comel dan kiut ini turut pernah berlakon sebagai cameo dalam filem James Bond, Quantum Of Solace. Bukan calang – calang sebenarnya Ford Ka ini tau.

Bermula tahun 2016, generasi ketiga Ford Ka pula mula diperkenalkan. Rekaannya kini tampil lebih elegan dan tidak kelihatan terlalu feminin. Sang jejaka nak pandu pun tak segan sangat. Dan buat pertama kalinya juga, pilihan kotak gear auto turut ditawarkan setelah sebelum ini hanya ditawarkan dengan kotak gear manual.

Perubahan ketara sudah tentulah model hatchback ini kini tampil dengan empat pintu berbanding dua pintu sebelum ini. Sesuai juga untuk dimiliki oleh keluarga kecil. Kali ini, ianya dibina berdasarkan Pelantar Ford B, yang mana turut berkongsi dengan model Ford Fiesta. Malangnya, Ford Ka ini tidak lagi diteruskan penjualannya di Eropah bermula September 2019. Namun, ianya masih boleh didapati di negara Amerika Latin seperti Brazil dan Argentina.

BACA : FORD FIESTA ACTIVE – DARI HATCHBACK KE CROSSOVER

BACA : FORD FIESTA ST 2018 – 200PS

Google ads

B K

Back to top button