Motosikal

UMW GRANTT TAJA HAFIZH SYAHRIN UNTUK MUSIM 2020!

UMW Grantt International Sdn Bhd (UMW Grantt) hari ini menandatangani perjanjian penajaan dengan pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin.

Penajaan itu dilihat tiba tepat pada masanya ketika Hafizh masih mencari-cari pihak yang ingin menajanya bagi mengharungi musim 2020 dengan pasukan Aspar Racing dalam kelas Moto2.

Setakat ini, UMW Grantt merupakan antara syarikat besar yang bersetuju untuk menaja Hafizh. Bagaimanapun, jumlah penajaan tidak dinyatakan.

UMW Grantt mengakui penajaan ini merupakan peluang terbaik untuk mereka meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap jenamanya. Lagi pun, Grantt sudah tiga tahun berada di pasaran tempatan dan kini memang fokus untuk pasaran dua roda.

Hafiz menyifatkan tajaan ini sebagai langkah kanan dan akan menjadikannya sebagai penyuntik semangat dalam mendapatkan keputusan lebih memberangsangkan sepanjang musim ini.  

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penaja atas kepercayaan yang diberikan. Saya akan bangkit pada tahun 2020 dan berikan yang terbaik demi keluarga dan negara.

“Saya berjanji akan all-out, tetapi tidak berani janji untuk menang semua perlumbaan, tetapi sudah pasti akan melakukan yang terbaik,” kata Hafizh.

Ketua Pegawai Ekskutif SIC, Dato’ Razlan Razali mengucapkan terima kasih atas kesudian UMW Grantt untuk menyokong pelumba negara.

“Saya harap lebih banyak lagi syarikat korporat di luar sana mengambil kesempatan untuk sokong pelumba-pelumba kita yang sudah ada di kejohanan dunia seperti Hafizh,” katanya.

Razlan juga yakin kerjasama dengan Hafizh membolehkan UMW Grantt mendapat pulangan yang lebih besar.

Hafizh dijadual ke Qatar untuk menjalani sesi ujian terakhir sebelum memulakan pusingan pertama perlumbaan. Dia dilihat optimis untuk mendapat keserasian dengan jentera secepat mungkin.

Google ads
Back to top button